Ahmad Muaz, Nerosha kembali catat kejayaan di kejohanan

Ahmad Muaz, Nerosha kembali catat kejayaan di kejohanan

KUALA LUMPUR,. Pemain boling negara dapat berasakan kembali kejayaan dalam pertandingan apabila berjaya memenangi kategori masing-masing ketika menyertai kejohanan ‘Last Man Standing’ di Sunway Mega Lanes di sini, hari ini.

Dengan sebahagian besar pemain negara kali terakhir bertanding di Sukan SEA Filipina pada Disember tahun lepas sebelum COVID-19 menghentikan semua pertandingan dan latihan, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) mengambil keputusan menguji mereka melalui kejohanan dua hari tersebut.

Dipertandingkan dalam format kalah mati tiga terbaik, Ahmad Muaz Mohd Fishol muncul pemenang dalam kategori lelaki setelah mengalahkan Adrian Ang 247-191 di final lelaki, sementara Nerosha Keligit menewaskan Nur Syazwani Sahar 265-174 untuk memenangi kategori wanita.

Ahmad Muaz, pemenang emas acara berpasukan lelaki Sukan SEA 2019, berkata walaupun ia adalah kejohanan dalaman, cabaran yang diberikan oleh rakan sepasukan hampir sama dengan suasana di kejohanan antarabangsa.

“Saya berasa gembira kerana hampir satu tahun tidak menyertai sebarang kejohanan. Walaupun (kejohanan ini) tidak mempunyai penonton tetapi masih terdapat sedikit tekanan di sana kerana kami bersaing sesama sendiri.

“… kerana apabila kami bertanding dalam pertandingan luar, kami juga masih saling bertanding sesama sendiri, cuma hanya akan ada penambahan peserta dari negara lain jika ia merupakan kejohanan luar negara,” katanya.

Ahmad Muaz berharap dia dapat meneruskan persembahan hebat hari ini dalam pertandingan esok dan seterusnya memenangi dalam acara trio.

“Saya juga berharap semuanya kembali normal pada 2021, agar kita dapat melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara Asia untuk bersaing dengan pemain terbaik dunia dan seterusnya memenangi lebih banyak podium dan mencapai keputusan lebih baik daripada 2019, yang merupakan tahun yang baik bagi saya,” katanya kepada Bernama.

Esok, pemain berusia 27 tahun itu akan berpasangan dengan Syafiq Ridhwan Abdul Malik dan Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam untuk mencabar Muhammad Rafiq Ismail, Timmy Tan dan Adrian.

Sementara itu, Nerosha berasakan terdapat keperluan untuk dia bekerja lebih keras bagi menggilap kemahirannya yang agak berkarat yang dikenal pasti semasa kejohanan.

“Saya merasa sangat teruja dan gembira kerana sudah lama kami tidak bertanding, sejujurnya ​​saya juga agak gugup dan terasa bersemangat.

“Selepas simulasi ini, saya tahu di mana kekurangan saya dan bahagian mana yang perlu diperbaiki, (kejohanan) ini banyak membantu. Saya harap kami dapat mengambil bahagian dalam permainan rasmi tahun depan, ” kata pemain berusia 23 tahun dari Sarawak itu.

Nerosha, yang berada dalam pasukan sokongan kebangsaan bersama Gillian Lim, Nur Syazwani, Faten Najihah Ahmad Faik dan Nora Lyana Nastasia Norkamal akan berhadapan dengan pasukan elit kebangsaan yang terdiri daripada pemain veteran Shalin Zulkifli, Natasha Roslan, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Esther Cheah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )