Ahmad Maslan Bebas Tuduhan Gagal Isytihar RM2 Juta, Beri Penyataan Palsu

Ahmad Maslan Bebas Tuduhan Gagal Isytihar RM2 Juta, Beri Penyataan Palsu

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas membayar kompaun RM1.1 juta.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan berikutan tertuduh bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, semalam.

“Dalam membuat permohonan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, TPR mengesahkan bahawa tertuduh tidak akan dihadapkan semula dengan pertuduhan-pertuduhan yang sama pada masa akan datang. Ini berikutan fakta bahawa tertuduh telah menerima tawaran kompaun dan menjelaskan bayaran kompaun tersebut.

“Berpandukan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah dan nas undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya terhadap Ambika M A Shanmugam, mahkamah dengan ini memerintahkan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pertama dan kedua.

“Semua tarikh bicara yang telah dijadualkan dilapangkan,” kata Hakim Ahmad Shahrir.

Terdahulu, Mohd Mukhzany Fariz memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan memohon supaya Ahmad dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas kedua-dua pertuduhan itu.

“Sebelum pertuduhan ini dipertuduhkan ke atas tertuduh (Ahmad), tertuduh telah ditawarkan kompaun, bagaimanapun tertuduh pada asalnya tidak bersetuju untuk membayar kompaun tersebut.

“Selepas pertuduhan dibuat ke atas tertuduh, peguamnya menulis surat representasi dan setuju untuk membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta. Oleh itu, SPRM dan AGC (Jabatan Peguam Negara) bersetuju dengan representasi tertuduh…maka dengan ini pihak pendakwaan bersetuju kes ini untuk DNAA, ” katanya.

Hakim Ahmad Shahrir: Adakah pihak pendakwaan akan meneruskan pertuduhan yang sama terhadap tertuduh?

Mohd Mukhzany Fariz: Jika dilihat pada asalnya kompaun telah ditawarkan ke atas tertuduh dan tertuduh telah menjelaskan kompaun tersebut, saya percaya kita tidak mendakwanya semula atas kesalahan sama.

Hakim Ahmad Shahrir berkata Peguam Negara diperuntukkan kuasa di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

“Kuasa pendakwaan ini boleh dijalankan oleh Peguam Negara menurut budi bicaranya. Seksyen 376(1) Kanun Prosedur Jenayah yang seterusnya memperkukuh kedudukan ini dan menyatakan Peguam Negara hendaklah menjadi sebagai Pendakwa Raya dan hendaklah mempunyai kawalan dan arahan dalam semua pendakwaan jenayah.

“Apabila Pendakwa Raya menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah untuk tidak selanjutnya meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, adalah menjadi kewajipan mahkamah, mempertimbangkan sama ada tertuduh sepatutnya diberi perintah pelepasan tanpa pembebasan atau perintah pelepasan dan pembebasan,” katanya.

Hakim itu berkata perkara tersebut adalah kuasa budi bicara kehakiman yang mesti dipertimbangkan menurut lunas undang-undang.

Hakim Ahmad Shahrir berkata mahkamah tidak boleh menggesa Pendakwa Raya untuk tetap meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh jika Pendakwa Raya menarik balik pertuduhan tersebut.

“Ini ialah kedudukan undang-undang yang berkuat kuasa. Dalam kes Pendakwa Raya terhadap Ambika M A Shanmugam, Mahkamah Rayuan memutuskan, antara lain bahawa apabila Pendakwa Raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan, mahkamah boleh memberi perintah pelepasan tanpa pembebasan.

“Prinsip ini diasaskan kepada gagasan bahawa tertuduh tanpa julat masa yang pasti sedangkan tidak dapat ditentukan sama ada pertuduhan itu akan dihadapkan semula atau tidak terhadapnya di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, peguam Hamidi Mohd Noh memohon anak guamnya (Ahmad) dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan itu berikutan tertuduh telah menyelesaikan kompaun yang ditawarkan.

“Dalam kes Pendakwa Raya lawan Syed Abdul Bahari Shahabuddin, mahkamah telah memutuskan bahawa dalam setiap keadaan di mana pendakwaan menarik balik kes, dan perintah yang sepatutnya diberikan adalah pelepasan dan pembebasan penuh, melainkan pihak pendakwaan boleh memberikan alasan yang lebih kuat bagi mendapatkan perintah untuk DNAA,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu selama 23 hari bermula pada 7 Jun tahun depan. Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.

Sementara itu, Ahmad dalam kenyataan media yang dikeluarkan Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq berkata proses penyelesaian kesnya bukan sesuatu yang baharu dan proses itu telah mengambil masa lebih setahun sebelum ia diterima serta direkodkan di mahkamah hari ini.

“Beberapa representasi juga telah dimasukkan kepada AGC seperti mana pengetahuan umum yang dilaporkan media. Proses penyelesaian ini telah melalui beberapa siri permohonan, perbincangan, timbang tara antara pihak-pihak yang berkenaan dan hanya direkodkan di mahkamah selepas dimuktamadkan oleh pihak-pihak.

“Proses penyelesaian ini juga telah dimuktamadkan selepas pihak-pihak bersedia untuk memberi komitmen masing-masing terhadap terma penyelesaian yang dipersetujui,” menurut kenyataan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013 yang ditunaikannya sendiri pada hari sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad juga dituduh memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai, 2019.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )