Aguero idam anugerah Ballon d’Or

LONDON,. Sergio Aguero memberi bayangan dia akan meneruskan kerjayanya bersama Manchester City.

Kontrak penyerang antarabangsa Argentina itu bersama City akan tamat pada musim panas 2021 dan dia sering katakan yang dia mahu kembali ke kelab pertamanya, Independiente.

Bagaimanpun, pemain berusia 31 tahun itu masih belum puas untuk mencipta sejarah dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Dia adalah penjaring keempat terbanyak dalam saingan Liga Perdana dengan merekodkan 180 gol – hanya dibezakan tujuh gol dengan Andy Cole.

Aguero juga memegang status sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat City.

“Saya mahu terus mengembangkan kerjaya saya dan ini adalah peluang saya.

“Namun, buat masa sekarang saya belum memikirkan lagi apa yang saya akan lakukan.

“Dengan apa yang sedang melanda ketika ini (pandemik COVID-19), kelab sedang berdepan dengan masalah,” katanya.

Satu perkara yang masih belum dirasai Aguero sepanjang sembilan tahun di England adalah anugerah individu.

Dia tidak pernah memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA di sebalik rekod gol yang dimilikinya.

Malah, dia jarang mendapat pencalonan bagi anugerah Ballon d’Or yang mana rakan senegaranya, Lionel Messi sudah memenanginya sebanyak enam kali.

Aguero sudah merekodkan keseluruhan 254 gol dalam semua kejohanan buat City.

Bagaimanapun, dia percaya kurangnya kejayaan kelab di peringkat Eropah membuatkan dia sukar untuk mendapat peluang memenangi anugerah Ballon d’Or.

“Semua pemain mahu memenangi anugerah Ballon d’Or tetapi pengaruh saingan Liga Juara-Juara akan banyak membantu.

“Tahun lalu adalah tahun terbaik saya apabila kami memenangi empat gelaran juara tetapi kami tidak bernasib baik dalam saingan Liga Juara-Juara,” katanya. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )