Agrobank sumbang RM400,000 untuk pembelian mesin dialisis

Agrobank sumbang RM400,000 untuk pembelian mesin dialisis

KUALA LUMPUR,. Agrobank semalam menyerahkan sumbangan berjumlah RM400,000 kepada Pusat Hemodialisis Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan-PICOMS (PHMP), sebagai wakaf tunai bagi pembelian 10 mesin dialisis untuk kegunaan pesakit di pusat berkenaan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee Abdul Kadir berkata sumbangan itu dibuat selepas Agrobank dan PICOMS memeterai satu Memorandum Persefahaman (MOU) pada 12 Mei lepas bagi pembelian mesin hemodialisis tersebut.

“Mesin-mesin ini akan ditempatkan di tiga cawangan PHMP iaitu di kampus Batu Muda PICOMS, Cheras dan Jalan Pahang bagi menampung jumlah pesakit yang ramai.

“Tiga cawangan PHMP ini secara keseluruhannya boleh menempatkan seramai 243 pesakit dialisis pada satu-satu masa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan itu yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di kampus PICOMS di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Agrobank Zahid Ahmad Zawawi.

Mengulas lanjut, Syed Hussein Alhabshee berkata kebanyakan pesakit terdiri daripada golongan asnaf yang tidak mampu membayar kos rawatan dialisis antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, bagi setiap pesakit.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )