Agong terima menghadap Menteri Luar Singapura

Agong terima menghadap Menteri Luar Singapura

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan di Istana Negara, di sini semalam.

Sesi menghadap bermula kira-kira 2.20 petang itu disertai Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon, Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri Singapura Albert Chua dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata sesi menghadap yang berlangsung hampir 30 minit itu adalah sebahagian daripada program sempena lawatan rasmi Balakrishnan ke Malaysia selama empat hari bermula semalam.

“Dalam sesi menghadap itu, kedua-dua pemimpin telah menyentuh berkenaan soal pengukuhan hubungan dua hala istimewa yang telah terjalin erat sejak sekian lama antara Malaysia dan Singapura,” menurut Zahari dalam kenyataan.

Pada Oktober lepas, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan berangkat melakukan lawatan negara ke Singapura selama empat hari, bermula 25 Okt 2022.

Dalam rangka lawatan negara itu, Seri Paduka berdua telah melakukan pertemuan dengan Presiden Singapura Halimah Yacob selain turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching.

Pada 2022, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM336.73 bilion (US$76.40 bilion), peningkatan sebanyak 30.8 peratus, berbanding nilai yang direkodkan pada 2021.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )