Agong berkenan tonton dokumentari khas Menjunjung Kasih Tuanku terbitan Bernama TV
KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan tayangan perdana dokumentari khas berjudul “Menjunjung Kasih Tuanku” terbitan Bernama TV di Istana Negara malam tadi.
Al-Sultan Abdullah berkenan menonton dokumentari mengisahkan pemerintahan Seri Paduka selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa selamat di Surau Utama Istana Negara, di sini.
Dokumentari khas berdurasi 30 minit itu ditayangkan pada layar skrin di ruang santapan istana dengan ditonton kira-kira 300 tetamu.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah sempat memberi reaksi positif mengenai dokumentari khas berkenaan.
“Okey, Alhamdulillah… terima kasih,” titah Seri Paduka ringkas sambil menunjukkan isyarat ibu jari tanda bagus.
Seri Paduka akan menamatkan pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini.
Dokumentari khas itu antara lain mengisahkan tentang penerimaan rakyat jelata sepanjang pemerintahan Yang di-Pertuan Agong termasuk ketika Seri Paduka mencemar duli berada di lapangan bersama rakyat, mahupun ketika berangkat menjelajah mengelilingi Malaysia serta majlis undangan rasmi bersama pemimpin negara.
Selain itu, sisi Al-Sultan Abdullah yang pelbagai termasuk ketika bersantai di samping kerabat diraja atau ketika berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja termasuk ketika berangkat merasmikan pembukaan sidang Parlimen turut dipaparkan dalam dokumentari khas berkenaan.
Tayangan dokumentari itu mula disiarkan hari ini sehingga 30 Jan menerusi beberapa siaran ulangan iaitu pada pukul 10 pagi dan 3.30 petang esok ; 8.30 malam 27 Jan ; 12.30 tengah hari 28 Jan; 10 pagi 29 Jan serta 6 pagi dan 11.30 pagi, 30 Jan.
–BERNAMA