Agensi PBB lancar Makmal Perundangan COVID-19
GENEVA,. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan pangkalan data merangkumi segala peraturan dilaksanakan di seluruh dunia bagi menangani krisis COVID-19, untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan individu serta masyarakat.
Inisiatif Makmal Perundangan COVID-19 itu menghimpunkan dan berkongsi dokumen perundangan dari lebih 190 negara, bagi mewujudkan dan melaksanakan rangka kerja kukuh menangani pandemik itu secara bersepadu.
Menurut laporan agensi berita Xinhua, yang memetik kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penambahan terma dan negara menganggotainya akan dibuat berdasarkan perkembangan semasa.
Pangkalan data itu mencakupi deklarasi kecemasan, pendekatan kuarantin, pemantauan penyakit, pendekatan perundangan berhubung pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial, dan akses kepada perubatan serta vaksin.
Menurut WHO, inisiatif berkenaan turut menyenaraikan rangka kerja perundangan berbeza untuk COVID-19, dengan tumpuan kepada hak asasi manusia dan undang-undang kesihatan awam.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata ia akan membantu negara mengenal pasti amalan terbaik dalam menangani pandemik COVID-19 dan pemulihan aspek sosio ekonomi.
“Kemunculan pandemik COVID-19 menyaksikan peningkatan terhadap keperluan melaksanakan tindakan perundangan segera, khusus bagi mengawal dan mengurangkan jangkitan.
“Rangka kerja perundangan yang kukuh amat penting untuk reaksi COVID-19 pada peringkat kebangsaan.
“Memandangkan kesihatan adalah isu global, rangka kerja harus seiring dengan komitmen antarabangsa dalam bertindak balas terhadap risiko kesihatan umum,” katanya. – AGENSI