AFC B-19: KBS pantau situasi COVID-19 di Uzbekistan

AFC B-19: KBS pantau situasi COVID-19 di Uzbekistan

PETALING JAYA,. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memantau secara dekat perkembangan situasi COVID-19 di Uzbekistan menjelang Kejuaraan Bawah 19 (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 yang dijadual berlangsung Oktober ini.

Timbalan Menterinya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata KBS sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan atlet negara yang bertanding di luar negara.

“Kita akan pantau secara dekat perkembangan di Uzbekistan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sesi latihan skuad B-18 negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, pada petang Khamis.

Jumlah kes COVID-19 yang disahkan di Uzbekistan pada Khamis meningkat sebanyak 702 menjadi 14,787, lapor Agensi Berita Trend memetik Kementerian Kesihatan.

Sehingga kini seramai 8,655 pesakit sembuh manakala 71 lagi meninggal dunia.

Kerajaan Uzbekistan minggu lepas mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung kali kedua bermula 10 Julai sehingga 1 Ogos, sebagai langkah membendung penularan COVID-19 di negara itu.

Beliau berkata jika keadaan bertambah buruk, KBS akan merujuk perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara bagi mendapatkan pandangan dan saranan berkenaan penglibatan atlet di luar negara.

Kejuaraan B-19 AFC 2020 merupakan pentas kelayakan ke Piala Dunia B-20 2021 dan skuad B-18 negara menyasarkan muncul pasukan Malaysia pertama layak secara merit ke pentas Piala Dunia.

Pada kejuaraan di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Okt itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara, Qatar, Tajikistan dan Yemen.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )