AEFI: JFK dapati tiada hubung kait kematian dengan dos penggalak

PUTRAJAYA,. Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin COVID-19 (JFK) menjalankan penilaian terhadap 25 laporan yang telah lengkap penyiasatan dan mendapati kes-kes kematian terlibat tiada hubung kait dengan vaksin dos penggalak COVID-19 yang diterima.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani berkata laporan itu adalah sebahagian daripada 58 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin dos penggalak yang diterima hingga 22 April yang memerlukan penyiasatan dan penilaian.

“Terdapat 33 laporan lagi masih dalam proses penyiasatan sebelum dibentangkan untuk penilaian oleh JFK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Secara keseluruhannya, beliau berkata sistem pelaporan AEFI NPRA telah menerima sejumlah 26,160 laporan AEFI vaksin COVID-19 yang perlu dinilai termasuk 1,581 laporan melibatkan penerima dos penggalak dan 324 laporan bagi penerima vaksin kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

“Kadar pelaporan AEFI melalui Sistem AEFI NPRA ini secara keseluruhannya direkodkan pada 374 laporan bagi setiap sejuta dos,” katanya.

Dr Roshayati berkata hasil penilaian ke atas laporan yang diterima, 93 peratus atau 24,320 daripada AEFI yang dilaporkan adalah bagi kes-kes yang tidak serius.

Daripada jumlah keseluruhan laporan AEFI yang diterima, terdapat 1,840 laporan dikategorikan sebagai AEFI serius berdasarkan klasifikasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia merujuk kepada kesan yang menyebabkan kemasukan ke dalam wad, pemanjangan tempoh di wad, membahayakan nyawa, menyebabkan kehilangan upaya yang signifikan atau memerlukan intervensi untuk mencegah kerosakan kekal tubuh, menyebabkan kecacatan semasa lahir, atau disyaki menyebabkan kematian.

Dr Roshayati berkata majoriti atau 93.5 peratus daripada 324 laporan AEFI melibatkan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun adalah kesan tidak serius, manakala 21 laporan dikategorikan sebagai AEFI serius.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )