Adakan pilihan raya hanya selepas pandemik – Saifuddin

Adakan pilihan raya hanya selepas pandemik – Saifuddin

KUALA LUMPUR,. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berpandangan sebaiknya sebarang pilihan raya diadakan selepas penularan pandemik COVID-19 di negara ini berakhir.

Ini katanya bagi memastikan penyertaan sepenuhnya rakyat yang sekarang ini terikat dengan kawalan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP).

“Kita nak pilihan raya itu bebas dan adil dan seterbuka yang mungkin. Itu hasrat demokrasi, tapi kalau banyak sangat SOP dan banyak sangat kawalan, masihkah demokrasi itu terpelihara dalam konteks pilihan raya yang terkawal,” katanya dalam Temu Bual Khas bersama Buletin Awani semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata langkah terbaik buat masa ini ialah “ditiadakan” pilihan raya.

“Bukan nak mengelakkan pilihan raya tetapi menangguhkannya. Mungkin satu caranya ialah mengisytiharkan darurat di kawasan tersebut, tetapi bukan untuk politik… untuk memastikan rakyat boleh berpatisipasi (turut serta) sepenuhnya dan sebaik-baiknya dalam proses pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi menghadapi pilihan raya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi di Sabah pada 5 Disember ini. Selain itu, Sarawak juga bakal mengadakan pilihan raya negeri apabila penggal semasa Dewan Undangan Negerinya tamat pada 7 jun 2021.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )