
Aaron-Wooi Yik mampu kembali menyerlah di BAC 2025 – Razif
KUALA LUMPUR,. Di sebalik prestasi kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, bekas juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpotensi untuk kembali ‘mengaum’ pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, bermula esok.
Keyakinan tersebut dilaungkan legenda badminton negara Datuk Razif Sidek bersandarkan laluan mudah bakal ditempuhi pilihan keenam kejohanan itu yang bakal berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo sehingga Ahad ini.
“Berdasarkan laluan Aaron-Wooi Yik di BAC 2025, saya rasa suku akhir seterusnya baru susah. Tidak mustahil, mereka sebenarnya boleh berjaya cuma harus serius dan beri tumpuan 100 peratus.
“Dari segi pengalaman pula tiada masalah, mereka pernah kalahkan beregu handal dunia lain termasuk dari China dan Indonesia. Apatah lagi mereka tidak mengalami kecederaan membimbangkan yang menghalang mereka untuk tampil aksi cemerlang (perform) kali ini,” katanya kepada Bernama.
Pasangan ranking keenam dunia itu sebelum ini dibelenggu isu kecederaan yang dialami Aaron sehingga menyaksikan mereka tersingkir seawal pusingan pertama dalam dua kejohanan iaitu Masters Orleans 2025 di Perancis diikuti Seluruh England 2025, bulan lepas.
Aaron-Wooi Yik akan membuka kempen BAC 2025 menentang beregu bukan pilihan dari Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura dengan rekod pertemuan memihak kepada pasangan negara 3-0.
Mereka kemudian bakal bertemu sama ada pasangan kurang ternama dari India Hariharan Amsakarunan-Ruban Kumar Rethinasabapathi sebelum halangan sebenar menanti di suku akhir seandainya pilihan ketiga dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto mara ke peringkat tersebut.
Menyentuh mengenai peluang beregu nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Razif yang pernah menjulang gelaran BAC 1992 bersama adiknya Datuk Seri Jalani Sidek, berkata cabaran getir dijangka diharungi mereka susulan undian sukar pada saingan yang menawarkan wang hadiah kemenangan keseluruhan berjumlah US$500,000 (RM2.23juta) itu.
Sze Fei-Nur Izzuddin, yang merupakan pilihan utama akan menentang bekas juara dunia 2021 dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada pusingan pertama BAC 2025 dengan gandingan lawan memiliki kelebihan menewaskan pasangan profesional itu sebanyak tiga kali dalam empat pertemuan.
Turut mengiringi perjuangan Aaron-Wooi Yik dan Sze Fei-Nur Izzuddin adalah pilihan kelapan Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.
Sementara itu, Razif berharap beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah dapat memberikan tumpuan sepenuhnya menentang wakil Korea Selatan Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong sekali gus mengharungi kempen kali ini dengan meyakinkan biarpun dibayangi isu luar gelanggang ketika ini.
Baru-baru ini, media melaporkan masa depan Pearly-Thinaah menjadi tanda tanya selepas mereka dikhabarkan belum menandatangani kontrak baharu bersama Persatuan Badminton Malaysia yang tamat Januari lepas dan sedang merancang meninggalkan badan induk itu.
Razif pada masa sama mahu melihat sekurang-kurangnya satu wakil beregu campuran negara mampu mara ke peringkat separuh akhir selepas negara kehilangan gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang dipecahkan baru-baru ini.
Dalam pada itu, figura berusia 62 tahun itu sukar meramalkan prestasi barisan pemain perseorangan lebih-lebih lagi bagi saingan lelaki dengan ketiadaan pemain profesional Lee Zii Jia yang terpaksa melupakan edisi kali ini susulan kecederaan buku lali kanan.
Malaysia mempertaruhkan pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 Ng Tze Yong yang akan membuat kemunculan semula selepas berehat panjang lebih setahun selain Leong Jun Hao dan Justin Hoh manakala Goh Jin Wei, K. Letshanaa dan Wong Ling Ching akan menggalas cabaran perseorangan wanita.
Zii Jia merupakan wakil negara terakhir memenangi gelaran BAC pada edisi 2022 di Muntinlupa, Filipina.