
Fly FM mohon maaf isu video tular kaitkan solat dengan kandungan hiburan
KUALA LUMPUR,. Stesen radio bahasa Inggeris tempatan, Fly FM hari ini memohon maaf kepada orang ramai khususnya umat Islam berhubung penularan satu video menerusi media sosialnya semalam yang mengaitkan ibadah solat dengan kandungan hiburan.
Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, stesen radio di bawah naungan Media Prima Audio (MPA) itu mengakui kandungan berkenaan adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya diterbitkan serta telah dipadam daripada semua platform rasmi mereka.
“Fly FM mengambil serius teguran dan maklum balas berhubung kandungan yang telah disiarkan tersebut. Solat merupakan ibadah yang mulia dalam Islam dan seharusnya dihormati. Kami menyedari kesilapan yang telah dilakukan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPA Nazri Noran bersama-sama dua penyampai segmen Fly FM Breakfast yang dikenali sebagai Ean dan Adam turut tampil menyampaikan permohonan maaf pagi tadi secara langsung menerusi ke udara.
Sementara itu, MPA mengumumkan tiga langkah penambahbaikan segera melibatkan kawalan kualiti dan tadbir urus kandungan termasuk meletakkan semua kandungan siaran serta digital Fly FM di bawah pemantauan langsung pihak pengurusan kanan, susulan insiden itu.
Selain itu, MPA juga akan mewajibkan latihan berkaitan sensitiviti agama, kaum dan budaya kepada semua penyampai, penerbit serta petugas di seluruh rangkaian stesen radio di bawah kendaliannya.
“Kandungan yang berpotensi menyentuh sensitiviti agama, kaum dan budaya juga akan melalui proses semakan serta kelulusan pihak pengurusan terlebih dahulu sebelum diterbitkan,” katanya.
MPA dan Fly FM turut menzahirkan penghargaan atas teguran orang ramai dan menyifatkan insiden tersebut sebagai pengajaran penting untuk stesen radio itu lebih berhati-hati serta menghormati nilai dan kepercayaan masyarakat majmuk di negara ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan hari ini menggesa pengurusan stesen radio berkenaan segera menurunkan kandungan tular tersebut serta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam.
— BERNAMA
