HIMPUNAN HUFFAZ 26K PACU PERADABAN NEGARA

HIMPUNAN HUFFAZ 26K PACU PERADABAN NEGARA

KUALA LUMPUR,. Penganjuran Himpunan Huffaz 26K 2026 pada Jumaat ini, diharap akan terus menyatukan ekosistem pendidikan tahfiz negara, memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi agama, akademik dan kemahiran.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan Himpunan Huffaz yang akan diadakan di Bagan Datuk, Perak juga bakal membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada generasi huffaz untuk menyerlah dalam pelbagai bidang.

“Himpunan ini merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan dalam memartabatkan al-Quran, memperkukuh institusi tahfiz serta memperkasakan peranan golongan huffaz sebagai aset penting pembangunan modal insan negara,” menurut kenyataan itu.

Bertemakan “Huffaz Memacu Peradaban”, himpunan itu turut memberi tumpuan kepada peluasan laluan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk pelajar tahfiz.

Tema tahun ini turut mencerminkan anjakan penting dalam pembangunan pendidikan tahfiz negara, dengan tidak sekadar melahirkan penghafaz al-Quran semata-mata, tetapi juga turut memperkasakan huffaz sebagai ilmuwan, pendidik, teknokrat, profesional dan pemimpin, yang mampu menyumbang secara langsung kepada kemajuan masyarakat serta negara.

Sebanyak 27 institusi tahfiz yang melepasi penilaian kualiti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dijangka menerima pengiktirafan pada himpunan itu.

Anugerah khas turut akan disampaikan kepada 10 institusi tahfiz terbaik berdasarkan pencapaian dan penilaian kualiti menurut Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM), manakala 20 panel penilai SPTM akan menerima sijil penghargaan.

Pengiktirafan itu susulan insentif RM500,000 yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada penganjuran tahun lepas, dengan setiap institusi terpilih menerima RM50,000.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dijadual menghadiri himpunan di Masjid Tuminah Hamidi itu, yang akan disertai penghafaz al-Quran, mudir, asatizah, tenaga pengajar dan wakil institusi tahfiz dari seluruh negara.

“Dari 2023 hingga 2025, sebanyak 2,364 pelajar tahfiz telah mendaftar dalam program latihan kemahiran di institusi TVET,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dan SPTM bagi memastikan institusi tahfiz memenuhi piawaian pendidikan, tadbir urus dan pengurusan.

Himpunan itu diterajui Pejabat Timbalan Perdana Menteri dengan kerjasama JAKIM, PERMATA Al-Quran, Majlis Amanah Rakyat, Yayasan Pahang, Sekretariat Majlis TVET Negara dan agensi berkaitan.

Antara pengisiannya ialah Eksplorasi TVET-Tahfiz, Klinik al-Quran Interaktif dan perkongsian amalan terbaik institusi tahfiz, selain program Bagan Datuk Bermunajat yang turut melibatkan masyarakat setempat.

Program bermula Khamis ini dengan pameran artifak, reruai agensi dan aktiviti pendidikan al-Quran sebelum acara kemuncak pada Jumaat.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This