AKPS catat RM89.7 juta nilai rampasan biosekuriti libatkan 9,263 kes

AKPS catat RM89.7 juta nilai rampasan biosekuriti libatkan 9,263 kes

KUALA LUMPUR,. Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mencatat rampasan biosekuriti bernilai RM89.7 juta, melibatkan 9,263 kes dari Januari hingga Oktober tahun ini, menurut Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata nilai rampasan hidupan dan tumbuhan liar itu, tertinggi daripada keseluruhan kejayaan penguatkuasaan agensi berkenaan berjumlah RM322.74 juta bagi tempoh sama.

Mohd Suhaili berkata kawalan sempadan berwibawa bukan sahaja melindungi keselamatan fizikal dan ekonomi negara, malah menjadi benteng utama dalam membendung penyeludupan hidupan liar serta pengelakan cukai.

“Saya menyeru masyarakat agar bersama-sama memupuk kesedaran sivik bagi menyokong pemeliharaan alam, menolak pembelian haiwan atau produk hidupan liar yang diperoleh secara haram, serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa, di Zoo Negara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Hafidz Rahmat.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata menerusi inisiatif itu, AKPS menaja dua ekor helang merah yang berada di bawah jagaan Zoo Negara, iaitu Bayu dan Bara, bagi menyokong keperluan penjagaan menyeluruh termasuk pemakanan, pengurusan harian serta rawatan veterinar berkala.

Beliau berkata Inisiatif Sang Perkasa tercetus susulan lawatan kerja delegasi AKPS ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak pada 21 Julai, yang membuka ruang kepada agensi itu untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Beliau berkata pemilihan helang merah dalam inisiatif itu, berkait rapat dengan identiti dan logo baharu AKPS, selain mencerminkan nilai ketajaman penglihatan, keberanian, kewaspadaan serta ketegasan yang perlu dimiliki warga agensi itu dalam menjaga keselamatan pintu masuk dan kedaulatan sempadan negara.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya bersama-sama memupuk kesedaran sivik bagi menyokong pemeliharaan alam, menolak pembelian haiwan atau produk hidupan liar yang diperoleh secara haram serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti penyeludupan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This