MENTERI KABINET TITIP DOA, KATA-KATA SEMANGAT BUAT CALON SPM 2026

MENTERI KABINET TITIP DOA, KATA-KATA SEMANGAT BUAT CALON SPM 2026

KUALA LUMPUR,. Doa dan kata-kata semangat mengiringi 420,898 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang memulakan peperiksaan bertulis hari ini, dengan beberapa Menteri Kabinet mengingatkan mereka agar kekal tenang dan yakin terhadap usaha yang telah dilakukan.

Menerusi hantaran di media sosial masing-masing, mereka mendoakan agar semua calon diberikan ketenangan, dipermudah urusan dan memperoleh kejayaan selepas melalui tempoh persekolahan yang panjang.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek menitipkan pesanan agar calon SPM 2026, tidak terlalu memberikan tekanan kepada diri sendiri dan percaya pada segala usaha yang dilakukan selama ini.

Beliau turut mengadakan tinjauan secara mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Jasmin 2, Kajang dekat sini pagi tadi, bagi melihat sendiri keadaan sebenar di sekolah, memastikan segala persiapan berjalan dengan baik dan bertemu para pelajar sebelum mereka masuk ke dewan peperiksaan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Terima kasih kepada guru-guru dan petugas peperiksaan yang telah membuat persiapan dengan baik. Selamat maju jaya, anak-anak,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula, mendoakan semua calon SPM di seluruh negara diberikan ketenangan, dipermudah segala urusan dan dapat menjawab setiap soalan dengan baik.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut menasihatkan para calon, supaya menjaga kesihatan diri dengan mendapatkan tidur yang cukup, makan makanan berkhasiat dan kekal tenang melangkah ke dewan peperiksaan.

“Hari ini, pentas untuk kalian menuai hasil daripada segala jerih perih, disiplin dan ilmu yang telah ditimba sepanjang tempoh persekolahan.

“Setelah berusaha sedaya upaya, serahkanlah selebihnya kepada-Nya. Doa kami semua sentiasa mengiringi kalian. Semoga dipermudah segala urusan dan dikurniakan kejayaan yang cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendoakan semoga Allah SWT mempermudah segala urusan, memberikan ketenangan hati dan kelancaran kepada semua calon dalam menjalani peperiksaan.

“Pesan saya, masuklah ke dewan peperiksaan dengan tenang dan penuh keyakinan. Baca soalan baik-baik, urus masa sebaiknya dan jangan terlalu gementar. Insya-Allah percayalah pada usaha yang telah anak-anak lakukan selama ini.

“Kepada ibu bapa dan guru-guru, terima kasih atas segala pengorbanan, bimbingan dan doa yang tidak pernah putus untuk kejayaan anak-anak kita,” katanya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata peperiksaan SPM bukan sekadar menguji ilmu di dada, tetapi turut membentuk ketahanan mental, disiplin dan jati diri sebagai generasi pelapis negara.

“Hadapilah setiap kertas peperiksaan dengan hati yang tenang, fikiran yang fokus dan keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan diri sendiri. Jaga kesihatan, dapatkan rehat yang mencukupi dan lakukan yang terbaik,” katanya.

Peperiksaan bertulis SPM 2026 bermula hari ini dan akan berlangsung hingga 17 Dis.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This