
Pearly-Thinaah lengkapkan kejayaan berganda Malaysia di Terbuka Hong Kong
KUALA LUMPUR,. Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah melengkapkan kejayaan berganda Malaysia pada Terbuka Hong Kong selepas menjuarai acara beregu wanita, menyusuli kejayaan pasangan lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, pada aksi final semalam.
Pasangan ranking keempat dunia itu mengulangi kejayaan yang diraih di bumi Hong Kong dua tahun lalu apabila menewaskan gandingan Jepun di ranking ke-11 dunia Sumire Nakade-Miyu Takahashi, 22-20, 21-16, sekali gus merangkul gelaran Jelajah Dunia ketiga mereka musim ini.
Kemenangan di Arena Kai Tak itu turut menjadi detik manis buat Pearly-Thinaah apabila berjaya membalas kekalahan kepada pasangan sama pada final Terbuka Taiwan, Ogos lepas.
Sebelum ini, Pearly-Thinaah turut muncul juara Indonesia Masters berstatus Super 500 pada Januari dan Terbuka Denmark berstatus Super 750 bulan lepas.
Kejayaan pasangan itu melengkapkan hari gemilang badminton negara selepas Wei Chong-Kai Wun terlebih dahulu menamatkan penantian 27 tahun Malaysia untuk kembali merangkul gelaran beregu lelaki Terbuka Hong Kong.
Wei Chong-Kai Wun menewaskan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, 21-19, 21-18, untuk memastikan gelaran beregu lelaki menjadi milik Malaysia.
Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai USD39,500 (RM162,500) atas kejayaan itu, manakala Nakade-Takahashi menerima USD19,000 (RM78,200) selaku naib juara.
— BERNAMA
