
BANK PELABURAN KEKALKAN UNJURAN INFLASI 2026 PADA 1.9 PERATUS
KUALA LUMPUR,. Bank pelaburan mengekalkan unjuran kadar inflasi keseluruhan Malaysia bagi 2026 pada 1.9 peratus, berbanding 1.8 peratus setakat tahun ini, susulan tekanan harga yang masih terkawal.
RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) dalam satu nota penyelidikan memaklumkan prospek inflasi akan dipengaruhi oleh harga komoditi global, potensi tekanan terhadap harga makanan, pelarasan dasar domestik, serta permintaan domestik.
“Bagi tempoh berbaki tahun 2026, inflasi dijangka kekal terkawal, dengan tekanan kenaikan akibat harga komoditi yang lebih tinggi diimbangi oleh subsidi dan kawalan harga yang berterusan, serta nilai ringgit yang agak stabil.
“Melangkah ke 2027, permintaan domestik yang lebih kukuh boleh mewujudkan risiko peningkatan tambahan kepada unjuran inflasi kami sebanyak 1.9 peratus, di samping potensi tekanan daripada harga makanan dan harga komoditi global,” maklumnya.
Menurut RHB IB, minimum yang lebih tinggi, bantuan tunai yang diperluas, pengurangan cukai pendapatan individu, serta peningkatan perbelanjaan kerajaan dijangka menyokong pendapatan boleh guna isi rumah dan penggunaan swasta, yang berpotensi menambah tekanan inflasi yang didorong permintaan.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) memaklumkan inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.9 peratus pada Oktober 2026, berbanding 1.8 peratus pada September, rendah sedikit daripada unjuran serta anggaran konsensus bank tersebut pada 2.0 peratus.
Bank pelaburan itu juga menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada suku pertama 2027, susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar tersebut pada 2.75 peratus pada 5 November, selain mengunjurkan pertumbuhan ekonomi melebihi 5.0 peratus pada 2026.
“Pertumbuhan kukuh, ditambah dengan jangkaan Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah kepada 4.00–4.25 peratus pada Disember 2026, serta tekanan peningkatan harga pada 2027, akan memberikan ruang kepada BNM untuk bertindak,” maklum Kenanga IB.
— BERNAMA
