SELANGOR ARAH SEMAKAN SEMULA PROJEK, PASTIKAN PELAKSANAAN MITIGASI BANJIR

SELANGOR ARAH SEMAKAN SEMULA PROJEK, PASTIKAN PELAKSANAAN MITIGASI BANJIR

KUALA SELANGOR,. Kerajaan Negeri Selangor akan mengarahkan semakan semula terhadap projek pembangunan yang telah diluluskan bagi memastikan pelaksanaan penyediaan sistem mitigasi banjir di kawasan berisiko.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu antara usaha kerajaan negeri bagi memastikan risiko banjir dapat dikurangkan serta kejadian sama tidak berulang di kawasan terjejas.

“Saya akan minta semak balik segala kelulusan yang telah kita benarkan termasuk mensyaratkan mereka (pemaju) membuat tadahan air sementara (dan) kita juga tidak mahu mereka melakukannya secara sambil lewa,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau lokasi kolam tadahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri turut mengenal pasti beberapa isu lain yang menyumbang kepada kejadian banjir di kawasan seperti Johan Setia, Parit Mahang, Bukit Kuching dan Bukit Hijau.

Beliau berkata antara isu itu ialah aktiviti vandalisme di ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh 1 yang menyebabkan ia menjadi lebih rendah daripada spesifikasi asal di sesetengah bahagian selain limpahan daripada Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

“Saya sudah minta isu vandalisme ditangani dengan segera dan kita akan ambil tindakan terhadap operasi haram di sana, dan ada beberapa proses perobohan yang terpaksa dilakukan.

“Perobohan itu untuk jadikan gazet kawasan tadahan air atau dataran banjir di dua tempat yang kita kenal pasti yang akan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai sebuah masjid di sini yang sering dilanda banjir, Amirudin berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak pentadbiran masjid sama ada untuk meninggikan atau memindahkan masjid itu kerana kawasan terbabit ialah kawasan rendah dan menerima limpahan Sungai Subang.

“Itu (banjir) ialah limpahan Sungai Subang yang mengalir ke Merbau Sempak, Sungai Buloh dan akhirnya sampai ke sini. Itu pergerakan air sejak dahulu, dari Gombak atau Petaling dan sebahagiannya ke kawasan Ijok atau Kuala Selangor,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This