
PENGECUALIAN GAJI MINIMUM DALAM BELANJAWAN 2027 BANTU PMKS SESUAIKAN PENGAMBILAN PEKERJA, STRUKTUR GAJI – SME CORP
KUALA LUMPUR,. Pengecualian pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM2,000 bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merekodkan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta dalam Belanjawan 2027, berkuat kuasa Jun tahun depan akan membantu perniagaan menyesuaikan pengambilan tenaga kerja dan struktur gaji mereka, menurut SME Corporation Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Rizal Nainy berkata pengecualian itu akan memberi ruang kepada PMKS untuk menyelaraskan operasi dengan penggunaan automasi dan pendigitalan, yang berpotensi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi terutama perbelanjaan tenaga kerja.
“Saya berpendapat bahawa dalam jangka pendek ini, sementara PMKS membuat penyesuaian dengan gaji minimum sebanyak RM2,000, kerajaan perlu memperkenalkan intervensi bersasar dengan meneliti program pendigitalan dan automasi yang boleh disediakan untuk perniagaan ini.
“Ini juga merupakan peluang bagi PMKS untuk meneroka bagaimana automasi dan pendigitalan boleh melengkapi tenaga kerja mereka bagi memastikan gaji lebih tinggi yang dibayar untuk tenaga kerja mahir memberikan nilai tambah yang lebih besar, berbanding bergantung kepada tenaga kerja berkemahiran rendah,” katanya.
Rizal berkata demikian ketika menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “Budget 2027: What It Means for MSMEs,” yang dihoskan Jessy Chahal hari ini.
Pada 9 Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan bahawa kadar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM2,000 sebulan daripada RM1,700 sebulan berkuat kuasa Jun 2027 yang memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
Menurut Perdana Menteri, PMKS yang mencatatkan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta akan diberikan pengecualian sementara daripada melaksanakan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM2,000 sebulan.
Selain itu, Anwar berkata kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk PMKS akan ditingkatkan kepada RM57 bilion pada 2027 berbanding RM50 bilion manakala kadar cukai pendapatan korporat bagi PMKS yang layak akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan di bawah Belanjawan 2027.
Sementara itu, Rizal berkata peruntukan sebanyak RM57 bilion bagi kemudahan pembiayaan PMKS di bawah Belanjawan 2027 akan membantu perniagaan mengembangkan operasi, meningkatkan skala perniagaan dan menyumbang dengan lebih besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“2027 ialah tahun PMKS, dan saya yakin Belanjawan 2027 akan memberikan sokongan besar kepada sektor ini. Saya berharap PMKS mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber yang betul dan, apa yang lebih penting, memahami cara memanfaatkan belanjawan ini untuk mengembangkan serta meningkatkan skala perniagaan mereka.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, agenda kita bagi PMKS adalah mengenai peningkatan skala. Kita mahu melihat perusahaan mikro berkembang menjadi perniagaan kecil manakala perniagaan kecil berkembang menjadi perusahaan bersaiz sederhana,” katanya.
— BERNAMA
