
25 KAWASAN CATAT IPU TIDAK SIHAT SETAKAT 4 PETANG
KUALA LUMPUR,. Sebanyak 25 kawasan di seluruh negara kekal mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 4 petang ini, dengan Batu Muda di Kuala Lumpur merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 173.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak lima kawasan di Selangor mencatatkan bacaan tidak sihat, iaitu Johan Setia (171), Shah Alam (170), Petaling Jaya (169), Klang (164) dan Banting (162).
Turut mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat, tiga kawasan di Melaka, iaitu Bukit Rambai (166) serta Alor Gajah dan Bandaraya Melaka dengan masing-masing mencatatkan bacaan IPU 156, selain Nilai (165), Seremban (161) dan Port Dickson (154) di Negeri Sembilan.
Sementara itu, sebuah lagi kawasan di Kuala Lumpur, Cheras mencatatkan bacaan IPU 169 manakala Putrajaya (164).
Sebanyak tujuh kawasan di Johor juga mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Larkin (159), Kluang dan Pasir Gudang dengan masing-masing mencatatkan 156, Pengerang dan Kota Tinggi masing-masing (155), serta Batu Pahat dan Tangkak masing-masing (153).
Turut terjejas Paka (155) di Terengganu; Tasek Ipoh (154), Pegoh Ipoh (151) dan Tanjung Malim (114) di Perak.
Sebanyak 35 kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana di seluruh negara manakala hanya lapan kawasan merekodkan bacaan pada tahap baik.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.
— BERNAMA
