
KADAR ANTARA BANK JANGKA PENDEK DIJANGKA KEKAL STABIL MINGGU DEPAN SUSULAN OPERASI BNM
KUALA LUMPUR,. Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan, disokong oleh operasi Bank Negara Malaysia (BNM) dalam sistem kewangan.
Bank pusat itu menjalankan operasi mudah tunai setiap hari sepanjang minggu ini menerusi tender repo berbalik dan tender repo berbalik Islam, termasuk murabahah komoditi bercagar serta perjanjian jual dan beli balik, bagi mengurangkan lebihan dana dalam sistem kewangan.
Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional susut kepada RM37.20 bilion daripada RM43.84 bilion minggu lepas.
Sementara itu, lebihan mudah tunai dalam sistem Islam meningkat sedikit kepada RM29.30 bilion daripada RM29.26 bilion pada akhir minggu lepas.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 2.75 peratus setakat 15 Okt, 2026.
— BERNAMA
