
TUJUH “JURUTERAPI KECANTIKAN” WARGA INDONESIA DITAHAN LANGGAR AKTA IMIGRESEN
PUTRAJAYA,. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tujuh warga Indonesia dipercayai bekerja sebagai “juruterapi kecantikan” kerana melanggar Akta Imigresen 1959/63 menerusi operasi khas yang dilaksanakan di Selangor dan Kuala Lumpur pada Rabu lepas.
JIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan warga asing terdiri daripada seorang lelaki dan enam wanita berusia antara 19 hingga 44 tahun itu ditahan di empat lokasi sekitar Shah Alam, Pandan Perdana dan Kepong.
“Dua wanita dan lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c), tiga ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan seorang lagi ditangkap kerana disyaki melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurut kenyataan itu.
JIM menyatakan penahanan warga asing berkenaan susulan maklumat risikan yang mengesan kegiatan mereka dipercayai menawarkan perkhidmatan estetik dan kecantikan di premis kediaman disewa bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kumpulan terbabit disyaki menawarkan perkhidmatan itu kepada semua khususnya warga Indonesia di Lembah Klang. Kegiatan mereka dipromosikan melalui TikTok dan Instagram dengan pelanggan perlu membuat tempahan untuk mendapatkan perkhidmatan.
“Siasatan mendapati warga asing berkenaan menjalankan kegiatan itu sejak tahun lepas dan dipercayai menjana keuntungan sehingga RM50,000 sebulan bergantung kepada jumlah pelanggan serta perkhidmatan ditawarkan,” menurut kenyataan itu.
JIM memaklumkan siasatan lanjut mendapati kumpulan warga asing terbabit dipercayai mempelajari kaedah rawatan estetik dan kecantikan di negara asal mereka dan Malaysia.
Menurut kenyataan itu, pasukan operasi JIM turut menyita ubat-ubatan, peralatan rawatan dan kecantikan, satu unit telefon bimbit serta wang tunai RM400 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.
“Kumpulan warga asing itu juga akan disiasat Kementerian Kesihatan (KKM) kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Peraturan 7(1) dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, berkaitan pemilikan keluaran yang tidak berdaftar dengan KKM,” menurut JIM.
— BERNAMA
