TAHANAN RUMAH: POLIS, PENJARA, BERMESYUARAT NILAI KESELAMATAN KEDIAMAN NAJIB

TAHANAN RUMAH: POLIS, PENJARA, BERMESYUARAT NILAI KESELAMATAN KEDIAMAN NAJIB

KUALA LUMPUR,. Pihak polis dan Jabatan Penjara Malaysia hari ini mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi menilai aspek keselamatan kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung persediaan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata mesyuarat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara itu diadakan di kediaman Najib di sini namun menjelaskan lokasi pelaksanaan tahanan rumah belum muktamad kerana dokumen perintah rasmi belum diterima pihak berkuasa.

“(Lokasi pelaksanaan tananan rumah) Belum dimuktamadkan sebab perintah itu kita belum terima lagi. Perkara itu akan dimuktamadkan apabila perintah itu diperolehi dan akan ada syarat-syarat tertentu,” katanya kepada pemberita di hadapan kediaman Najib, sini hari ini.

Mengulas mengenai perincian mesyuarat, Anuar Bakri yang sebelum itu dilihat tiba di kediaman Najib pada kira-kira 2.30 petang, memaklumkan pihak polis hadir bagi meneliti aspek keselamatan luar kawasan kediaman, manakala Jabatan Penjara memantau urusan berkaitan tahanan.

“Setakat ini belum ada perincian lagi, cuma antara (perkara dibincangkan) kita buat penilaian tempat tinggal Najib. Jadi pihak (Jabatan) Ppenjara minta pihak polis hadir bersama untuk tengok dari aspek kita, pihak polis, aspek keselamatanlah,” katanya.

Menyentuh mengenai prosedur kawalan keselamatan di sekitar kawasan itu, Anuar Bakri menafikan dakwaan pemasangan struktur tambahan seperti kawat dan pagar besi khas di kediaman tahanan akan dilaksanakan.

Pada Jumaat lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 atas sabitan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This