PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA DICADANG WUJUD REPOSITORI DIGITAL CERITA MALAYSIA – AARON

PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA DICADANG WUJUD REPOSITORI DIGITAL CERITA MALAYSIA – AARON

KUALA LUMPUR,. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dicadangkan supaya mewujudkan “Repositori Digital Cerita Malaysia” sebagai khazanah digital nasional bagi memastikan cerita yang membentuk identiti negara terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata repositori itu boleh menghimpunkan secara sistematik cerita rakyat dalam bentuk digital, sekali gus membolehkan bahan berkenaan menjadi sumber ilmu, penyelidikan dan inspirasi pada masa hadapan.

“Repositori ini lebih kurang macam pangkalan data untuk cerita Malaysia… kos usaha ini tidak seharusnya terhad kepada melestarikan warisan tetapi turut merakamkan dan menghimpunkan secara sistematik cerita rakyat dalam bentuk digital yang boleh diakses serta dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

“Inisiatif ini juga akan menjadikan PNM bukan sahaja sebagai penjaga bahan terbitan negara tetapi turut berperanan sebagai penjaga memori dan suara bangsa agar cerita-cerita yang membentuk identiti nasional ini tidak hilang ditelan zaman,” katanya dalam ucapan perasmian Festival Penceritaan Malaysia (FPM) 2026 di sini hari ini.

Aaron berkata usaha memperkasakan penceritaan juga penting dalam proses pembinaan negara bangsa menerusi pengenalan identiti bersama serta pemahaman terhadap kepelbagaian bahasa dan budaya di negara ini.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada kandungan yang dijana kecerdasan buatan (AI) tanpa melakukan semakan kerana ia boleh membawa kepada penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Aaron berkata berdasarkan kajian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), 62 peratus pencipta kandungan digital tidak melakukan semakan fakta manakala 42 peratus menggunakan jumlah tanda suka dan tontonan sebagai petunjuk utama untuk menentukan kredibiliti sesuatu kandungan.

“… apa sahaja yang dijana AI itu, kalau tidak difahami dengan konteks yang mendalam mungkin akan membawa tafsiran atau penemuan yang tidak betul,” katanya, sambil menambah literasi naratif penting bagi membolehkan masyarakat memahami, menilai dan menapis cerita dalam persekitaran digital.

Justeru, beliau berharap kerjasama antara PNM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Komunikasi serta rakan strategik dapat diperkukuh bagi memperluas usaha memperkasakan budaya penceritaan.

FPM 2026 yang dianjurkan buat julung kali oleh PNM berlangsung selama dua hari sehingga esok bermula 10 pagi hingga 5 petang dengan pelbagai pengisian berkaitan penceritaan, penulisan dan warisan budaya untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.

Terdahulu, Ketua Pengarah PNM Edy Irwan Zulkafli dalam ucapan aluannya berkata festival berkenaan bertemakan “Penceritaan sebagai Warisan Masyarakat Berilmu” bertujuan mengangkat seni penceritaan sebagai medium memperkukuh perpaduan dan memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata festival yang berkonsepkan “Santai Ilmu dan Didik Hibur” itu turut menyediakan pelbagai pengisian interaktif, termasuk empat siri bengkel berkaitan penulisan cerpen, penghasilan komik dan teknik penceritaan interaktif.

“Platform ini bukan sahaja menghidupkan kembali cerita tradisi yang semakin dilupakan, malah menjadi teraju penting dalam memupuk semangat perpaduan, saling memahami dan menghormati kebudayaan sesama kita,” katanya, sambil menambah program itu turut menampilkan sesi bicara ilmu dan audio siar yang mengetengahkan tokoh penulisan serta penceritaan.

Sementara itu, beliau berkata program hari ini turut mengumumkan pemenang bagi empat pertandingan secara dalam talian, iaitu Pertandingan Bercerita, Pertandingan Bercerita Kreatif, Pertandingan Bercerita Muzikal dan Pertandingan Menulis Cerpen melibatkan 335 penyertaan daripada pelbagai kategori.

Mohamad Azwar Kamaruzaman, yang juga juara kategori orang awam bagi Pertandingan Penulisan Cerpen menerusi karya “Misteri Pontianak Berharum Cempedak” berkata penulisan cerpen adalah antara cara beliau mengekspresikan perasaan dan “escapism” dalam kehidupan seharian.

Beliau ketika mengulas mengenai penggunaan AI berkata teknologi itu digunakan bagi kerja teknikal seperti menyemak ejaan dan kesalahan tatabahasa, bukannya sebagai pencetus idea kerana kreativiti dan gaya penulisan seharusnya datang daripada penulis.

“AI adalah alat yang memudahkan bukan mencetuskan kreativiti. Seharusnya idea asal dan gaya penulisan adalah daripada penulis,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This