KESELAMATAN KESIHATAN KINI SATU KEUPAYAAN STRATEGIK NEGARA

KESELAMATAN KESIHATAN KINI SATU KEUPAYAAN STRATEGIK NEGARA

BANGI,. Keselamatan kesihatan tidak boleh dianggap isu perubatan atau kesihatan awam semata-mata, tetapi satu keupayaan strategik yang penting untuk mempertahankan kedaulatan negara ketika berdepan tekanan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Beliau berkata pertahanan sesebuah negara bergantung secara langsung kepada daya tahan biologi rakyatnya.

“Negara yang tidak mampu melindungi fungsi biologi rakyatnya tidak mampu melindungi ekonominya, mengekalkan kesiapsiagaan ketenteraannya, memelihara keyakinan awam atau mempertahankan kedaulatannya ketika berdepan tekanan berterusan,” katanya.

Dr Zulkeffeli berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Saintifik Persatuan Farmakologi dan Fisiologi Malaysia (MSPP) ke-39 dan Simposium Advances in Research & Clinical Medicine of Today (ARMy) yang pertama di sini hari ini.

Beliau berkata krisis global terkini menunjukkan ancaman biologi bergerak lebih pantas berbanding institusi pentadbiran dan kerangka dasar, sekali gus menekankan keperluan segera untuk merapatkan jurang antara makmal saintifik dengan persekitaran operasi.

Dr Zulkeffeli berkata pencapaian saintifik akan kehilangan nilai strategik sekiranya tidak berfungsi dalam keadaan tekanan operasi yang tinggi seperti cuaca panas melampau, altitud tinggi, kekangan sumber atau gangguan rantaian bekalan.

“Terapi yang hanya berkesan dalam keadaan ideal ialah satu pencapaian saintifik. Terapi yang berkesan dalam keadaan tekanan operasi pula merupakan keupayaan daya tahan,” katanya sambil menggesa penyelidik dan perancang pertahanan supaya memberi tumpuan kepada kepantasan alihan, iaitu kadar penemuan asas diterjemahkan kepada langkah tindak balas yang sedia digunakan di lapangan.

Beliau berkata terdapat empat kekangan struktur utama yang kini menghambat tindak balas kesihatan negara, iaitu ketidakseimbangan prestasi, jurang fisiologi operasi, kelewatan dalam pembuatan keputusan berdasarkan data serta jurang antara institusi.

Bagi mengatasi cabaran itu, beliau menggesa supaya diwujudkan rangkaian keselamatan translational health berteraskan misi yang menghimpunkan ahli akademik, penyedia perkhidmatan kesihatan, logistik pertahanan dan industri untuk terus memendekkan tempoh bagi mencapai lima fasa daya tahan, iaitu masa untuk mengesan, memahami, menangkis, melaksanakan dan pulih.

Persidangan selama dua hari itu yang dianjurkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerusi Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan (FPKP) bersama MSPP, dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) UPNM Prof Norhana Abdul Halim di sini hari ini.

Dengan tema “Bridging Life’s Mechanics & Therapeutics for Health Security & Resilience”, persidangan itu menghimpunkan pakar pertahanan, perubatan dan sains untuk menangani bidang utama termasuk keselamatan bio, kesiapsiagaan perubatan Kimia, Biologi, Radiologi dan Nuklear (CBRNe), penjagaan kesihatan berteraskan kecerdasan buatan (AI) serta kesihatan manusia dalam persekitaran ekstrem.

Pembentangan utama yang dijadualkan pada persidangan itu termasuk fisiologi penerbangan ketenteraan dalam keadaan hipobarik dan High-G oleh Kol Dr Zulkefley Mohammad dari Institut Perubatan Penerbangan TUDM serta rangka kerja tindak balas kecemasan CBRNe oleh Dr Hazlina Mohamad Noh dari Hospital Selayang.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This