Keluar zon selesa, bakat muda perlu berani teroka industri animasi

Keluar zon selesa, bakat muda perlu berani teroka industri animasi

CYBERJAYA: Pembikinan sesebuah siri animasi bukan sahaja menuntut kreativiti, malah kecekalan dan kesediaan untuk terus belajar, khususnya bagi bakat muda yang diberi tanggungjawab baharu di sebalik tabir.

Wan Heidi Sofia Wan Norarjuna, 31, berkata pengalaman beralih daripada artis konsep kepada pengarah memberi cabaran tersendiri dalam usahanya memahami keseluruhan proses menerbitkan animasi.

“Tugas sebagai artis konsep sebelum ini hanya tertumpu pada penghasilan visual, tetapi sebagai pengarah, saya perlu memimpin pasukan dan mengendalikan keseluruhan penerbitan daripada peringkat skrip hingga video akhir,” katanya kepada BERNAMA selepas tayangan eksklusif siri animasi terbaharu Build-It Blocks di sini baru-baru ini.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Animasi daripada Columbia College Chicago, Amerika Syarikat itu memulakan kerjaya sebagai artis konsep bagi siri animasi Omar & Hana dan Mina Mila sebelum diberi peluang mengarah buat pertama kali menerusi siri animasi muzikal berkonsepkan Islam, Showtime.

“Walaupun pada awalnya dibayangi keraguan akan kemampuan diri, saya menerima cabaran itu untuk keluar daripada zon selesa serta mengasah bakat dan kemahiran memimpin,” katanya.

Beliau berkata pengalaman mengarahkan Showtime mengajarnya supaya tidak menilai penerimaan penonton berdasarkan jangkaan sendiri, sebaliknya menganalisis data tontonan bagi menambah baik episod seterusnya.

Mengenai projek terbaharunya, Wan Heidi Sofia berkata Build-It Blocks ialah siri animasi untuk kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun yang memperkenalkan pelbagai jenis pekerjaan menerusi tiga watak utama, iaitu Amir si arkitek, Bena si jurubina dan Camil si jurutera pembinaan.

“Selain kerjaya popular seperti anggota bomba, doktor haiwan dan penyanyi, kami turut mengetengahkan pekerjaan seperti penghantar bungkusan, pekerja kitar semula dan tukang cuci yang jarang dijadikan watak utama dalam animasi. Ini bagi membantu kanak-kanak memahami serta menghargai peranan setiap ahli masyarakat,” katanya.

Beliau berkata siri yang akan ditayangkan menerusi platform Durioo+ mulai 8 Ogos ini mengetengahkan pengajaran daripada hadis sahih dan nilai Islam secara semula jadi melalui penerapan adab serta sikap saling membantu.

“Pembangunan siri ini bermula sejak Mei lepas dengan melibatkan kira-kira 20 bakat tempatan, merangkumi proses menulis skrip sehingga penghasilan animasi akhir, selain bekerjasama dengan Piapi Animation Studio dari Padang, Indonesia,” katanya.

Wan Heidi Sofia berkata teknologi kecerdasan buatan (AI) turut diintegrasikan dalam keseluruhan penerbitan menerusi pendekatan Integrated Production Pipeline bagi mempercepat aliran kerja dan meningkatkan kualiti hasil akhir tanpa mengubah asas penghasilan animasi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bakat muda supaya tidak terlalu bergantung pada penggunaan AI sehingga mengabaikan prinsip animasi, penceritaan dan reka bentuk visual.

“AI bukan pengganti tenaga manusia, sebaliknya alat bantuan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Penggunanya masih perlu mempunyai asas animasi yang kukuh untuk menghasilkan karya berkualiti,” katanya.

Mengenai potensi industri, beliau yakin bidang animasi tempatan mampu menawarkan kerjaya jangka panjang berikutan perkembangan studio tempatan yang semakin matang dan berupaya menghasilkan karya untuk pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat jurang antara pembelajaran di institusi pendidikan dengan tuntutan sebenar industri kerana pengajian di kampus lebih tertumpu pada teori asas dan pelaksanaan tugasan.

“Apabila memasuki alam pekerjaan, siswazah perlu menyesuaikan diri dengan gaya, proses kerja dan piawaian berbeza yang ditetapkan oleh setiap studio, selain bersikap serba boleh serta sentiasa meningkatkan kemahiran,” katanya.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, Wan Heidi Sofia berhasrat mengarahkan filem animasi untuk tontonan keluarga, selain menjadi tenaga pengajar AI bagi membantu bakat muda memanfaatkan teknologi itu mengikut standard industri.

SUMBER;

–Norhidayyu Zainal | BERNAMA

CATEGORIES
Share This