
Zambry bidas kenyataan Nga kritik KPT mengenai kemasukan lepasan UEC ke universiti awam
PUTRAJAYA,. Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir (gambar) membidas sekeras-kerasnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, susulan kenyataannya yang mengkritik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung pelaksanaan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Zambry membidas sekeras-kerasnya kenyataan Nga yang mengkritik KPT serta melabelkan kementerian itu sebagai ‘lembap seperti kura-kura’ dalam melaksanakan keputusan berkenaan.
Zambry berkata, setiap keputusan yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri merupakan keputusan bersama yang berlandaskan prinsip tanggungjawab kolektif.
Beliau berkata, setiap keputusan itu akan disusuli dengan tindakan menyeluruh dan proses yang turut melibatkan penyelarasan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pelbagai agensi berkaitan.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, perkara itu seharusnya dibincangkan di meja Jemaah Menteri dan bukannya melalui kenyataan terbuka.
“Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, tempat untuk membincangkannya ialah di meja Jemaah Menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka yang tidak menghormati tatakelola Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
