
Ahli Parlimen Pasir Gudang Bimbang Hutang Negara, Dividen Petronas Merosot dan Perjanjian Dagangan Dengan AS
KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2025 — Ahli Parlimen Pasir Gudang, Yang Berhormat Hassan Karim, membangkitkan kebimbangan serius mengenai peningkatan hutang negara, penurunan peruntukan pembangunan, serta dakwaan pemberian konsesi berlebihan kepada Amerika Syarikat selepas Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.
Dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, Yambo menegaskan bahawa hutang kerajaan kini mencecah RM1.34 trilion atau 64.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2025, dan menuntut kerajaan mengambil langkah fiskal baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pembangunan.
“Kalau kita mahu membangunkan negara, kita terpaksa meminjam RM1.02 bilion. Sampai bila kita perlu terus berhutang untuk pembangunan negara?” katanya.
Peruntukan Pembangunan Menyusut dan Dividen Petronas Merosot
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap trend menurun peruntukan pembangunan negara yang menyusut daripada RM96 bilion pada 2023 kepada RM84 bilion pada 2024, dan dijangka hanya RM83 bilion bagi tahun 2026.
Yambo turut mempersoalkan mengapa dividen Petronas merosot mendadak daripada RM40 bilion tahun lalu kepada RM20 bilion bagi 2026.
“Apakah masalah yang sedang dihadapi oleh Petronas? Saya mohon Menteri Ekonomi dan Kewangan memberi penjelasan,” katanya.
Cadang Cukai Kekayaan ke Atas Golongan Kaya
Sebagai langkah meningkatkan hasil negara, Yang Berhormat Hassan Karim mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan cukai kekayaan terhadap golongan jutawan di Malaysia.
Beliau menyatakan, berdasarkan data tahun 2022, terdapat 85,126 jutawan di Malaysia, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 164,839 orang menjelang 2027.
“Adalah tidak bermoral jika kerajaan hanya mengenakan cukai kepada golongan miskin. Sudah tiba masanya cukai kekayaan atau cukai modal dikenakan kepada golongan kaya supaya kemakmuran dapat dikongsi bersama,” ujarnya.
Kritik Perjanjian Malaysia-AS
Dalam ucapannya, Yambo turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap perjanjian dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang didakwa memberikan terlalu banyak kelebihan kepada Washington.
Beliau mempersoalkan mengapa Malaysia perlu menurunkan kadar tarif serta membeli pesawat Boeing dan gas asli cecair (LNG) bernilai berbilion dolar dari Amerika Syarikat tanpa mendapat manfaat setimpal.
“Petronas diwajibkan membeli LNG dari AS bernilai USD3.4 bilion setahun. Ini satu bentuk penyerahan ekonomi. Kita dahulu berjuang menentang penjajahan, tetapi kini menyerahkan kekayaan negara dengan rela,” tegasnya, menyifatkan tindakan itu sebagai “pengkhianatan terhadap kedaulatan negara.”
Kedaulatan Negara Perlu Dipertahankan
Yang Berhormat Hassan Karim menutup ucapannya dengan seruan agar kerajaan mempertahankan kedaulatan ekonomi dan politik negara serta menolak sebarang bentuk campur tangan asing.
“Ini memalukan. Kita mesti bertanggungjawab di Parlimen. Kekayaan negara tidak sepatutnya diserahkan kepada pihak luar,” katanya sebelum mengakhiri perbahasan dan menyerahkan lantai kepada Menteri Kewangan.
-Media Batu
