NRES; Penambahbaikan dasar  kesalahan alam sekitar

NRES; Penambahbaikan dasar kesalahan alam sekitar

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan komitmennya untuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan alam sekitar, termasuk pengimportan haram sisa e-waste.

Komitmen ini dilaksanakan melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan oleh kementerian, yang bertujuan meningkatkan penyelarasan antara agensi di bawah NRES dan mempertingkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan mereka.

Pasukan petugas ini memberi tumpuan kepada isu utama seperti lambakan kontena e-waste, operasi kilang haram, pengurusan barang rampasan, serta penambahbaikan dasar dan langkah penguatkuasaan.

Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan NRES Bil. 1/2026 telah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri, Syed Ibrahim Syed Noh pada Isnin.

Mesyuarat ini menekankan pengukuhan penguatkuasaan bagi pelbagai isu alam sekitar, dengan fokus khusus kepada pengimportan haram e-waste.

Antara topik utama yang dibincangkan termasuk lambakan kontena e-waste di pelabuhan, kesukaran mengenal pasti pemilik kontena dan kilang e-waste haram, cabaran dalam pengurusan barang rampasan, serta halangan dalam proses pelupusan dan tindakan undang-undang.

Mesyuarat juga meneliti perkembangan operasi penguatkuasaan yang sedang dijalankan, termasuk Ops Bongkar Kontena dan Ops Hazard, yang bertujuan membendung kemasukan sisa berjadual ke negara.

Ke hadapan, beberapa langkah strategik telah dikenal pasti, antaranya penubuhan pejabat cawangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pelabuhan Klang, pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, serta pengukuhan pengurusan barang sitaan dan logistik penguatkuasaan.

Kerajaan juga sedang meneliti penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Menangani Sisa E-Waste Haram, bagi memperkukuh pendekatan bersepadu di peringkat nasional.

Pasukan Petugas Khas ini akan bermesyuarat secara berkala, sama ada setiap bulan atau mengikut keperluan, bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dijalankan secara terselaras, fokus dan berkesan.

Mesyuarat ini turut melibatkan penyertaan daripada agensi utama di bawah NRES, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).

CATEGORIES
Share This