
TAR UMT rai Foundation Day ke-57 bagi menghargai sejarah, perkembangan universiti
KUALA LUMPUR,. Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) meraikan Foundation Day ke-57 yang menandakan hampir 60 tahun sejak kelas pertamanya diadakan pada 24 Februari 1969.
Sambutan tersebut berlangsung di TAR UMT Arena yang baharu kelmarin dengan dihadiri oleh ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Lembaga Gabenor, warga kerja, alumni, bekas pengetua serta pesara.
Majlis ini diadakan bagi menghargai sejarah dan perkembangan universiti. Para tetamu juga berpeluang melawat TAR UMT Arena, kemudahan terbaharu universiti.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong yang menyampaikan ucaptama.
Beliau berkongsi tentang perjalanan universiti daripada awal penubuhannya sebagai Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR College) sehingga menjadi sebuah universiti yang dikenali hari ini. Beliau juga menekankan visi kuat para pengasasnya.
Beliau berkata, 57 tahun lalu para pengasas telah berusaha dengan gigih dan berani untuk membina sebuah institusi yang menyediakan pendidikan berkualiti dan mampu milik kepada semua rakyat Malaysia.
Hari ini, falsafah “Beyond Education” memastikan graduan bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, tetapi juga menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab.
Sambutan tahun ini lebih istimewa kerana diadakan sempena Tahun Baharu Cina, menyambut Tahun Kuda Api. Bagi memeriahkan majlis, beberapa aktiviti kebudayaan telah dianjurkan.
Antaranya ialah sesi kaligrafi yang dipimpin oleh Wee bersama Tan Sri Dato’ Sri Liow Tiong Lai dan Dato’ Dr Mah Hang Soon yang menulis ucapan Tahun Baharu.
Turut diadakan persembahan kebudayaan oleh warga kerja dan pelajar, tayangan video khas, serta upacara pemotongan kek. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari.
