
Isu CSAM Isu CSAM perlu dilihat sebagai krisis kesihatan mental khusus dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.
KUALA LUMPUR,. Penemuan lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan pornografi dewasa dalam serbuan pihak berkuasa baru-baru ini, tidak boleh dipandang ringan.
Lebih membimbangkan, jumlah bahan CSAM yang ditemui menerusi Ops Pedo 2.0 itu meningkat 20 kali ganda berbanding Ops Pedo sebelumnya, sekali gus menggambarkan betapa seriusnya isu berkenaan di negara ini.
Ops Pedo 2.0 digerakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada September lalu itu turut menahan 31 individu di 37 lokasi.
Dapatan nasional itu jelas menunjukkan peningkatan ketara dalam penghasilan dan pengedaran CSAM, khususnya melalui akaun tanpa identiti, rangkaian tertutup dan pembayaran tanpa tunai.
Bagi menangani ancaman tersebut, kerajaan bakal menguatkuasakan umur minimum 16 tahun untuk akses media sosial, disokong mekanisme pengesahan umur dan identiti.
Pada masa sama, MCMC turut menguatkuasakan Peruntukan Deeming iaitu memastikan semua platform media sosial memikul tanggungjawab lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.
Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Nathratul Ayeshah Zulkifli berkata, isu CSAM perlu dilihat sebagai krisis kesihatan mental dan perlindungan kanak-kanak yang serius.
Beliau berkata, kesan CSAM adalah mendalam, berlapis dan boleh menghancurkan perkembangan psikologi seorang kanak-kanak jika tidak dikawal dan dipantau segera.
“Pendedahan kepada CSAM merupakan satu bentuk trauma seksual, walaupun kanak-kanak itu ‘hanya melihat’ dan bukan mangsa fizikal secara langsung.
“Dari sudut klinikal, otak kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan kognitif dan emosi untuk memproses kandungan seksual eksploitasi, apatah lagi yang bersifat ganas atau memalukan.
“Antara kesan paling awal ialah reaksi trauma akut. Kanak-kanak boleh mengalami mimpi ngeri, imbas kembali, ketakutan melampau dan wujud tingkah laku mengelak selepas terdedah kepada CSAM.
“Apabila terdedah dengan CSAM, sistem ‘fight-or-flight’ di otak (amygdala) menjadi terlalu aktif, menyebabkan kanak-kanak sentiasa berasa terancam walaupun berada dalam persekitaran selamat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurutnya, kanak-kanak yang terdedah CSAM juga boleh mengalami keresahan dan ketakutan berpanjangan malah, mereka juga mungkin takut untuk bersendirian, takut disentuh atau takut kepada situasi tertentu yang dikaitkan dengan kandungan yang dilihat.
Jelasnya lagi, dalam sesetengah kes, keresahan ini boleh berkembang menjadi gangguan keresahan menyeluruh.
Pada masa sama, Dr Nathratul Ayeshah berkata, CSAM turut mencetuskan gangguan emosi serta-merta seperti rasa jijik, malu dan bersalah.
Katanya, kanak-kanak juga mungkin akan sering menyalahkan diri sendiri selepas melihat kandungan tersebut dan rasa bersalah ini boleh terpendam serta merosakkan harga diri.
“Kesan lain termasuk gangguan tidur di mana kanak-kanak mungkin mengalami insomnia, kerap terjaga malam, atau takut tidur bersendirian. Kekurangan tidur seterusnya menjejaskan fungsi emosi, tumpuan dan prestasi akademik mereka.
“Perubahan selera makan juga boleh berlaku sebagai manifestasi tekanan. Ada kanak-kanak hilang selera makan, manakala yang lain makan secara berlebihan sebagai mekanisme menenangkan diri. Kedua-duanya memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan emosi,” katanya.
Dari sudut tingkah laku pula, Dr Nathratul Ayeshah berkata, CSAM boleh mendorong peniruan atau kekeliruan sempadan seksual di mana kanak-kanak kecil khususnya berisiko meniru perlakuan yang dilihat tanpa memahami implikasi disebabkan perasaan sifat ingin tahu dan perkembangan moral yang masih belum matang.
Selain itu katanya, dalam jangka sederhana dan panjang pula, pendedahan berulang kepada CSAM meningkatkan risiko gangguan psikiatri serius termasuk kemurungan, rasa putus asa, rendah diri dan hilang minat terhadap aktiviti harian.
Jelasnya lagi, gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) juga boleh berkembang, terutama jika pendedahan berlaku berulang kali atau melibatkan unsur paksaan, ugutan atau ‘grooming.’
“PTSD kanak-kanak sering hadir dengan simptom tersembunyi seperti regresi tingkah laku, masalah pembelajaran dan ledakan emosi sekali gus mengganggu pembentukan identiti kendiri.
“Kanak-kanak juga mungkin membentuk persepsi negatif terhadap tubuh mereka sendiri, berasakan diri ‘kotor’ atau tidak bernilai. Ini boleh membawa kepada masalah imej tubuh dan gangguan makan pada usia remaja.
“Pada masa sama, perkembangan identiti seksual juga boleh terpesong. Pendedahan awal kepada pornografi dan eksploitasi seksual membentuk kefahaman yang salah tentang hubungan intim, persetujuan (consent), kuasa dan kasih sayang. Ini meningkatkan risiko hubungan tidak sihat di masa depan,” katanya.
Dari sudut neuropsikologi pula katanya, pendedahan trauma seksual memberi kesan kepada fungsi eksekutif otak yang boleh membawa kepada kesukaran memberi tumpuan, kawalan impuls lemah dan ketidakupayaan mengurus emosi dengan sihat.
Lebih parah katanya, pendedahan kepada kandungan seksual eksploitasi boleh meningkatkan risiko tingkah laku mencederakan diri dan idea bunuh diri.
Tambahnya lagi, kesan CSAM bukan sahaja menimpa individu, tetapi boleh mencetuskan kitaran ‘victimization’ di mana kanak-kanak itu berisiko tinggi dan cenderung meniru tingkah laku bermasalah apabila dewasa.
Dr Nathratul Ayeshah juga berpandangan, Peruntukan Deeming oleh MCMC amat penting kerana ia meletakkan tanggungjawab jelas kepada platform untuk mencegah, mengesan dan bertindak pantas terhadap CSAM.
Katanya, dari perspektif kesihatan mental, setiap saat kelewatan bermakna risiko trauma bertambah.
“Namun, perlindungan ini tidak mutlak. Kandungan buatan pengguna, penggunaan akaun palsu, dan kecerdikan pemangsa siber menjadikan CSAM sukar dibanteras sepenuhnya melalui teknologi semata-mata.
“Reka bentuk platform yang mengutamakan keterlibatan maksimum juga boleh meningkatkan risiko pendedahan tidak sengaja dan algoritma yang mencadangkan kandungan berasaskan klik boleh membawa kanak-kanak ke laluan kandungan berbahaya tanpa niat awal.
“Oleh itu, ibu bapa tidak boleh melepaskan peranan mereka. Pengawasan, komunikasi terbuka, dan pendidikan tentang keselamatan seksual serta digital mesti bermula dari rumah. Kanak-kanak perlu tahu bahawa mereka boleh melapor tanpa dihukum.
“Sekolah dan komuniti pula berperanan sebagai barisan hadapan pengesanan awal. Guru, kaunselor dan petugas kesihatan perlu dilatih mengenal pasti tanda trauma seksual berkaitan pendedahan dalam talian,” katanya.
Secara keseluruhannya, kerajaan juga perlu memastikan akses kepada sokongan psikologi dan perkhidmatan krisis yang mesra kanak-kanak, tanpa stigma dan mudah dicapai, terutama bagi mangsa eksploitasi seksual dalam talian.
“Peruntukan Deeming MCMC adalah asas penting dalam perlindungan, tetapi ia hanyalah satu komponen dalam ekosistem perlindungan yang lebih besar.
“Matlamat akhir bukan sekadar menyingkirkan kandungan berbahaya, tetapi melindungi minda, emosi dan masa depan kanak-kanak.
“Perlindungan sebenar hanya tercapai apabila undang-undang, teknologi, pengasuhan dan pendidikan bergerak seiring untuk memastikan kanak-kanak membesar dalam persekitaran digital yang selamat, beretika dan berperikemanusiaan,” katanya.
