98.4 peratus kes baharu COVID-19 semalam kategori satu dan dua

98.4 peratus kes baharu COVID-19 semalam kategori satu dan dua

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 98.4 peratus atau 19,326 daripada keseluruhan 19,631 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, berada pada kategori satu dan dua, masing-masing tidak bergejala dan bergejala ringan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata, sebanyak 305 kes atau 1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes harian baharu itu pula berada dalam kategori tiga, empat dan lima.

Kategori tiga diklasifikasikan sebagai mereka yang mengalami radang paru-paru dan memerlukan rawatan dan pemerhatian di hospital, kategori empat (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) dan kategori lima (kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan).

“Secara keseluruhan, sebanyak 16,638 kes (84.75 peratus) daripada jumlah kes dilapor hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi COVID-19.

“Dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, sekali gus mengurangkan jangkitan COVID-19 dalam negara terutamanya kes kategori tiga hingga lima,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes sembuh hari ini ialah 16,468 manakala angka kematian mencatatkan 293 kes, dengan 44 daripadanya merupakan kes kematian di rumah atau ‘brought-in-dead.’

Sebanyak 90 kes kematian itu direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur (47), Johor (42), Pahang (21), masing-masing 19 di Melaka dan Perak, Sabah (15), masing-masing sembilan di Negeri Sembilan dan Kedah, Pulau Pinang (lapan), Kelantan (tujuh), Terengganu (lima) dan Sarawak (dua).

Beliau berkata, kes aktif COVID-19 di seluruh negara pula ialah 252,147 kes dengan 1,054 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 525 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti sebanyak 43 kes varian baharu SARS-CoV-2, yang kesemuanya adalah varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian perlu perhatian (VOI) adalah sebanyak 710 kes, dengan 690 kes adalah VOC manakala 20 kes VOI.

Mengenai kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata 39 kluster baharu dikesan hari ini dengan jumlah tertinggi melibatkan kluster tempat kerja iaitu 23, diikuti kluster komuniti (13), pusat tahanan (dua) dan kumpulan berisiko (satu).

Sementara itu, beliau memaklumkan nilai kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 1.05, dengan negeri tertinggi mencatatkan nilai Rt adalah Perlis (1.25), diikuti Sarawak (1.23) dan Kelantan (1.19).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )