705,864 kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi COVID-19

KUALA LUMPUR,. Jumlah kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang telah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak COVID-19 Kebangsaan (PICKids) kini meningkat kepada 705,864 individu atau 19.9 peratus.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, setakat semalam seramai 1,488,811 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 42 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,886,817 individu atau 92.8 peratus telah lengkap divaksin manakala 2,986,324 atau 96 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, seramai 16,009,979 individu dewasa atau 68 peratus telah menerima dos penggalak manakala 22,964,189 atau 97.6 peratus telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin dan 23,241,082 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 52,712 dos vaksin COVID-19 harian diberikan semalam melibatkan 11,918 dos pertama, 37,974 dos kedua dan 2,820 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 70,070,020.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, lapan kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan Selangor mencatat dua kes manakala Johor, Melaka, Pahang, Sarawak, Terengganu dan Kuala Lumpur masing-masing satu kes.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )