59 juta unit PPE diperlukan sebulan -Noor Hisham Abdullah
PUTRAJAYA,. Jumlah penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak 59 juta unit sebulan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata oleh itu KKM telah berbincang dengan beberapa agensi terutamanya dalam industri fesyen untuk memastikan bekalan berterusan bagi PPE.
“Kami telah berhubung dengan (pengusaha) industri, pereka fesyen, serta bekerjasama dengan agensi lain untuk memastikan bekalan berterusan dari industri tempatan untuk menghasilkan PPE KKM.
“Ada 18 item dalam satu set PPE, jadi kami mengawasi penggunaannya dan memastikan stok diperoleh dan dihantar ke KKM,” katanya dalam taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pihaknya mendapati ada warga KKM yang mendapat jangkitan COVID-19 kerana berkongsi pantri yang kecil beramai-ramai dalam masa yang sama.
“Satu daripadanya mungkin yang kita perhatikan apabila mereka masuk ke pantri untuk rehat, pantri kecil dan sesak, ramai yang masuk pada satu-satu masa, mungkin ada jangkitan di situ.
“Bila warga KKM bekerja di wad COVID-19 atau Unit Rawatan Rapi (ICU), mereka tidak dijangkiti sebab mereka pakai PPE,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM menyarankan agar pantri sentiasa dibersihkan dan disanitasi dari semasa ke semasa kerana di kawasan yang kecil dan tertutup seperti pantri, kadar jangkitan mungkin berlaku.
Beliau berkata setakat hari ini warga KKM yang dijangkiti COVID-19 adalah seramai 267, dengan 73 peratus daripada jangkitan didapati dalam komuniti dan bukan kerana bekerja di wad COVID.
“Kami ada 50 orang iaitu 19 peratus yang dapat jangkitan di hospital iaitu mereka yang dapat jangkitan daripada pesakit, kerana ada pesakit tak maklum sejarah perjalanan atau ada kaitan dengan kumpulan berisiko tinggi atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19,” katanya.
— BERNAMA