43 warga gelandangan ibu kota ditawar pekerjaan di Perak – Annuar Musa

43 warga gelandangan ibu kota ditawar pekerjaan di Perak – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Seramai 43 warga gelandangan di ibu negara telah mendapat tawaran pekerjaan dalam sektor perkilangan dan perladangan di Sitiawan, Perak, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Katanya mereka merupakan kumpulan pertama daripada 300 gelandangan yang berjaya dipilih, setelah menjalani ujian saringan kesihatan dan temuduga oleh syarikat-syarikat, ketika berada di pusat-pusat transit sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seramai 96 gelandangan pula akan bekerja dan ditempatkan di Anjung Singgah, yang mana produk-produk dari kilang syarikat sarung tangan akan dihantar kepada mereka, untuk proses pembungkusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Penempatan Pekerjaan Kumpulan Gelandangan di sini, hari ini.

Katanya kira-kira 200 warga gelandangan pula akan diberi kursus jangka pendek dan akan ditawarkan pekerjaan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Mereka ini yang tidak berjaya melepasi temuduga oleh syarikat-syarikat yang terlibat, akan diserap oleh DBKL,” katanya.

Katanya, kira-kira 100 warga gelandangan yang didapati uzur dan tidak sesuai untuk bekerja telah diserahkan kepada pihak berwajib, seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Imigresen.

“Ada 78 daripada mereka merupakan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah diserahkan kepada JKM, dan selebihnya merupakan warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri kepada (Jabatan) Imigresen,” katanya.

Menurutnya, warga gelandangan yang mendapat tawaran pekerjaan berkenaan diharap dapat memulakan kehidupan baharu, selepas mendapat pekerjaan dan gaji yang setimpal untuk menampung perbelanjaan harian mereka.

“Hikmah daripada wabak COVID-19 dan PKP, kami berjaya mendapatkan kerjasama daripada pelbagai agensi dan syarikat-syarikat swasta untuk menggaji mereka, seterusnya mengurangkan kadar gelandangan di sekitar ibu kota,” katanya.

Annuar Musa berkata, mana-mana gelandangan yang berupaya untuk bekerja tetapi tercicir dan belum mendapat peluang pekerjaan, boleh tampil menghubungi DBKL dan JKM untuk tujuan itu.

“Kami sedia membantu mereka mendapatkan pekerjaan kerana kami mendapat banyak permintaan daripada syarikat-syarikat swasta yang mahu menggaji pekerja tempatan,” katanya.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )