3,883 kes pelanggaran pakej umrah pada 2012-2018, tuntutan lebih RM24.1 juta

3,883 kes pelanggaran pakej umrah pada 2012-2018, tuntutan lebih RM24.1 juta

PUTRAJAYA,. Sebanyak 3,883 kes pelanggaran perjanjian pakej umrah antara pengelola dan jemaah direkodkan antara 2012 dan 2018, melibatkan jumlah tuntutan lebih RM24.1 juta, kata Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Ruslan Said.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM10.3 juta tuntutan telah diselesaikan kepada jemaah yang tidak berpuas hati dengan pengelola umrah, katanya.

“Berdasarkan data yang diperoleh daripada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), bilangan kes dan tuntutan ini membimbangkan kerana jemaah merasakan diri telah diperdaya selain berlaku pelanggaran perjanjian antara syarikat dan jemaah,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Seminar Penipuan Umrah bersama Pengelola Umrah di Kompleks Islam Putrajaya di sini, semalam.

Lebih 100 pengelola umrah yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menghadiri seminar yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri itu.

Ruslan berkata Jawhar mengambil inisiatif memberi penerangan kepada jemaah agar berhati-hati ketika memilih syarikat pengelola untuk ibadat umrah dan haji.

Beliau berkata masyarakat perlu menggunakan khidmat syarikat pengelola yang berdaftar dengan MOTAC dan sentiasa menyemak status syarikat melalui portal i-umrah iaitu umrah.jawhar.gov.my.

“Isu penipuan umrah ini akan berleluasa sekiranya tidak dikawal oleh kerajaan,” katanya.

-— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )