36,886 Orang Di Sabah Terima Bantuan ‘One Off’ RM300

36,886 Orang Di Sabah Terima Bantuan ‘One Off’ RM300

KOTA KINABALU,. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, seramai 36,886 orang di Sabah telah menerima bantuan khas Covid-19 secara ‘one off’ berjumlah RM300 seorang membabitkan nilai keseluruhan bantuan RM11,065,800.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20,157 orang adalah golongan “vulnerable’ atau memerlukan perlindungan, anak yatim (2,197), dan sebanyak 14,532 orang lagi terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu atau bapa tunggal dan pesakit kronik.

“Perbelanjaan bantuan makanan kepada pelajar-pelajar Sabah di Semenanjung berjumlah RM189,560 melibatkan 2,554 orang pelajar di 33 institusi pengajian tinggi juga telah diagihkan melalui Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, selain itu sebanyak 17 Pusat Kuarantin di Sabah yang melibatkan 2,076 orang menerima perbelanjaan bantuan makanan berjumlah RM91,440.

Katanya, bantuan makanan untuk 20 kanak-kanak jalanan (gelandangan) yang dikuarantin sementara juga telah dilaksanakan membabitkan perbelanjaan berjumlah RM2,354.

Mohd Shafie berkata, setakat ini seramai 410 orang daripada kategori miskin dan miskin tegar di Sabah telah menerima bantuan ‘one off’ RM500 seorang dengan jumlah bayaran keseluruhan sebanyak RM205,000.

“Sebanyak 12,678 lagi orang penerima bantuan dalam kategori ini sedang dalam proses pembayaran yang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM6,339,000,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 22 orang pesakit Covid-19 di negeri ini juga telah menerima bantuan ‘one off’ RM500 seorang manakala 188 lagi pesakit akan menerima bantuan sebaik sahaja maklumat akaun mereka diterima. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )