300 gelandangan bakal bekerja mulai 13 Mei

300 gelandangan bakal bekerja mulai 13 Mei

PUTRAJAYA,. Kira-kira 300 gelandangan bakal memulakan kehidupan baharu apabila mereka telah diberikan tawaran pekerjaan bagi fasa pertama bermula pada 13 Mei ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, sebanyak tiga buah syarikat terlibat membuat saringan dan proses temuduga iaitu Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., Hartalega NGC Sdn. Bhd. dan Harumi Brands Sdn. Bhd. membabitkan 72 gelandangan lelaki.

“Kira-kira 21 gelandangan telah ditawarkan pekerjaan dan bakal mula bekerja pada 13 Mei ini manakala baki 51 orang akan ditemuduga oleh majikan lain dalam masa terdekat.

“Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberikan taklimat persediaan kerjaya di tiga Pusat Sementara
Gelandangan (PSG) pada 5 Mei lalu dan sesi sama juga akan diadakan di enam lagi PSG pada minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar memberitahu, syarikat-syarikat yang terlibat mesti memenuhi kriteria Jabatan Tenaga Kerja WPKL serta mematuhi syarat Prosedur Operasi Standad (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kesemua syarikat ini akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, mematuhi Perintah Gaji Minimum di bawah Perintah Gaji Minimum 2020, mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955.

“Para gelandangan itu turut menikmati kemudahan-kemudahan seperti cuti tahunan, cuti sakit, cuti bergaji, bayaran lebih masa dan lain-lain peruntukan di bawah akta ini.

“Salah satu syarat yang diwajibkan terhadap majikan adalah caruman Perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ” katanya

Annuar berkata, ketika ini terdapat sembilan majikan yang telah dikenal pasti akan membantu kerajaan untuk menawarkan pekerjaan kepada gelandangan tersebut.

“Ia termasuk Adabi Consumer Industries, Hartalega NGC, Harumi Brands Sdn. Bhd., Top Glove Sdn. Bhd, Tesco Malaysia dan Trendcell Sdn. Bhd.

“Pada masa sama sebuah syarikat pembuatan sarung tangan sedang mengusahakan satu progam khas yang membolehkan kerja-kerja pembungkusan barangan dijalankan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan di Anjung Singgah dengan kira-kira 70 gelandangan bakal menyertai program khas tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, KWP, DBKL dan Jabatan Tenaga Kerja WP Kuala Lumpur sedang melaksanakan Program Persediaan Kerjaya Dan Temuduga Kerja sebagai satu usaha untuk mengubah kehidupan golongan gelandangan di Wilayah Persekutuan.

“Selain peluang perkerjaan, program ini juga memberikan peluang kepada mereka menyertai latihan kemahiran melalui Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur.

“Pelaksanaan program ini juga dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, PERKESO, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan lain-lain agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )