21,241 pendatang asing diusir, 15,957 masih dalam tahanan

21,241 pendatang asing diusir, 15,957 masih dalam tahanan

PUTRAJAYA,. Seramai 21,241 pendatang asing telah diusir ke negara asal masing-masing sejak awal tahun ini hingga 10 Ogos lepas, manakala 15,957 orang lagi masih dalam depot tahanan imigresen.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini kerajaan menghadapi kesukaran melaksanakan pengusiran terutamanya untuk menda-patkan persetujuan negara asal selain memastikan mereka bebas daripada COVID-19 sebelum dihantar pulang.

“Kita perlu memastikan negara sebelah sana sudah bersedia, kita tak boleh hantar begitu sahaja dan kita be-kerjasama dengan kedutaan mereka di sini, dokumentasi semua ada, barulah kita hantar pulang,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen, di sini semalam.

Daripada 21,241 pendatang asing yang telah dihantar pulang, 9,276 adalah dari Indonesia, Bangladesh (2,643), Myanmar (1,891), Thailand (1,715), India (1,412), China (1,343), Pakistan (991), Vietnam (646), Nepal (314), Kemboja (271) dan lain-lain negara (739), katanya.

Beliau berkata, baki yang masih dalam depot tahanan adalah termasuk pendatang asing yang dipindahkan dari penjara.

Mengenai penguatkuasaan, Hamzah berkata Jabatan Imigresen telah melaksanakan 4,764 operasi sejak awal tahun ini hingga Isnin lepas dan menahan 18,575 pendatang asing serta 269 majikan yang melakukan kesalahan.

“Operasi berkala akan terus dilaksanakan bagi memastikan pendatang asing sedar bahawa kita tidak akan berhenti melakukan operasi,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara, Hamzah mahu Jabatan Imigresen menyelesaikan isu pendatang asing dalam negara secepat mungkin.

Katanya, usaha mempertahankan kedaulatan negara memerlukan keikhlasan dan kejujuran kerana tanpa ke-dua-dua sikap itu, terdapat ruang untuk pegawai tidak mengikut undang-undang.

Pada majlis itu, Hamzah turut melancarkan norma baharu Jabatan Imigresen iaitu penyampaian perkhidmatan yang dinaik taraf dengan penggunaan aplikasi digital dan dalam talian dengan tema ‘Deal with the Machine’.

Beberapa sistem telah dibangunkan bagi melengkapi inisiatif norma baharu itu seperti Sistem Temujanji Online (STO), Sistem MYEntry, Sistem MyTravelPas (MTP) dan Sistem Perta-nyaan Online (SPO).

STO yang mula digunakan pada 8 Mei lepas telah berjaya meningkatkan kelancaran operasi jabatan dan mengawal kehadiran orang ramai di pejabat-pejabat imigresen selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

MyEntry pula ialah sistem saringan dan kelulusan berpusat secara dalam talian bagi permohonan kebenaran masuk dan keluar negara untuk warga asing yang layak seperti ekspatriat dan pekerja mahir, manakala MTP merupakan sistem kemudahan perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.

SPO pula ialah platform pertanyaan untuk pelanggan mendapatkan maklumat-maklumat asas tentang perkhidmatan teras Jabatan Imigresen bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan sebelum berurusan di Jabatan Imigresen. — Bernama

Kategory
Nasional

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )