21 pos kawalan baharu dibina di sempadan negara – Hishammuddin

21 pos kawalan baharu dibina di sempadan negara – Hishammuddin

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pertahanan membina 21 pos kawalan baharu dalam usaha memperkasa keselamatan di sempadan negara.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata 14 daripada pos kawalan yang telah siap dibina itu adalah di Sarawak, lima di Sabah dan dua di Semenanjung.

Beliau berkata pembinaan pos kawalan berkenaan amat penting bagi memastikan usaha Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengawal sempadan negara terus diperkasakan.

“Ia selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu sebarang usaha mencabar kedaulatan negara ditangani sebaiknya,” katanya dalam sidang media khas di Wisma Pertahanan, di sini semalam.

Mengenai inisiatif perumahan anggota ATM, Hishammuddin berkata sebanyak 5,769 unit Rumah Angkatan Tentera (RKAT) telah siap dibina manakala 1,509 unit sedang dibina dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2033.

Beliau berkata bagi program ‘Satu Anggota Satu Rumah’ (SASaR), sebanyak 3,500 unit sedang dibina di Kem Sungai Besi, di sini manakala 7,343 unit akan dibina di Kem Genting Klang dan Kem Wardieburn juga di ibu negara.

Mengenai inisiatif kebajikan tentera, Hishammuddin berkata kementeriannya merancang untuk menaik taraf lima Hospital Angkatan Tentera dan membina lima buah poliklinik baharu.

“Setakat ini, poliklinik di Kem Penrissen (Sarawak) telah 99 peratus siap dan tiga poliklinik sedang dibina dan sebuah lagi bakal dibina,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata petunjuk prestasi utama dalam tempoh 100 hari kementeriannya akan memberi fokus terhadap pelaksanaan inisiatif terutamanya yang berimpak tinggi termasuk perolehan kapal misi persisir yang dijangka pada hujung September ini dan pesawat peninjau maritim pada akhir November.

Mengulas mengenai pembinaan Hospital Medan di Pulau Pinang, beliau berkata kelulusan telah diberikan dengan pengoperasian penuhnya dijadualkan pada hujung minggu ini.

“Saya sudah arahkan Tentera Darat Malaysia untuk mendirikan Hospital Medan terbabit yang akan dilengkapi 100 unit katil pesakit kategori empat dan lima serta empat katil unit rawatan rapi (ICU).

“Pengatur gerakan peralatan hospital itu akan dibuat Rabu ini dengan seramai 50 petugas ATM akan terlibat sementara selebihnya petugas daripada Hospital Pulau Pinang sendiri,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)