16 pasukan terpilih ke separuh akhir Cabaran Seni Bina Bandar Untuk Masa Depan KL

16 pasukan terpilih ke separuh akhir Cabaran Seni Bina Bandar Untuk Masa Depan KL

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 16 idea penyelesaian terkini akan diketengahkan pada peringkat separuh akhir Cabaran Seni Bina Bandar untuk Masa Depan (CATCH) anjuran Yayasan Mobiliti Toyota (TMF).

Pasukan yang berjaya ke peringkat separuh akhir adalah dari Australia, Brazil, Jerman, India, Malaysia, Netherlands, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

CATCH dilancarkan pada Februari 2020 dengan keperluan global bagi penyelesaian dinamik, pintar dan dipacu data untuk menangani mobiliti dan cabaran perancangan bandar di Kuala Lumpur.

Sepanjang tempoh permohonan yang berakhir 30 Jun, 2020 lebih 90 pasukan global telah mengemukakan idea teknologi inovatif dan kukuh mereka untuk membentuk kembali perancangan bandar menerusi penggunaan data efektif.

“Kami gembira mengumumkan 16 idea berkelas dunia yang mewakili masa depan perancangan dan mobiliti bandar mampan serta cekap yang dipacu data.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan pasukan separuh akhir ini untuk memajukan idea mereka sehingga menjadi bukti konsep yang realistik dan bermanfaat,” kata Pengarah Program TMF, Pras Ganesh dalam kenyataan hari ini.

Pasukan ini akan diminta memajukan lagi idea mereka menjadi bukti konsep dan pada peringkat ini setiap pasukan akan menerima geran bernilai sehingga US$5,000 sebagai sokongan kewangan.

TMF akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi strategik termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan rakan datanya untuk menyokong peserta separuh akhir tersebut.

Ini bertujuan memperkukuh idea mereka menerusi sokongan geran kewangan, data mobiliti dan bimbingan mentor yang disediakan oleh pakar dan hakim yang menyokong CATCH sehingga pemilihan finalis pada Oktober ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )