15 syarikat dipilih laksana projek RTB di tujuh negeri

15 syarikat dipilih laksana projek RTB di tujuh negeri

PUTRAJAYA,. Lima belas syarikat dipilih bagi melaksanakan projek-projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di tujuh negeri yang telah dikenal pasti memerlukan penumpuan kerana berpotensi sering menghadapi banjir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata semua 15 syarikat itu telah menerima Surat Setuju Terima (SST) daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 di Johor, Selangor, Kelantan, Kedah, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata projek-projek yang melibatkan kos kontrak RM1.245 billion itu perlu dilaksanakan bagi mengurangkan masalah banjir di lembangan sungai berkaitan di samping menjamin keselamatan dan mengurangkan kerugian kerosakan harta benda kepada penduduk serta infrastruktur awam.

“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited dalam pelaksanaan projek pembangunan yang telah dirancang dan diluluskan agar dapat menjayakan agenda nasional dalam mentransformasi sektor air untuk menjadi sektor yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada Majlis Perhimpunan Bulanan PETRA dan Majlis Tandatangan dan Bacaan Ikrar Aku Janji yang melibatkan 15 syarikat berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu Fadillah berkata beliau mahukan supaya PETRA mengambil tindakan mitigasi dan pembetulan segera terhadap semua teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara ( PAC).

Beliau berkata semua teguran membabitkan 16 isu pengurusan air negara itu perlu diberi perhatian serius.

“Antaranya projek pembangunan sumber air membabitkan lewat jadual, skim bekalan air Tawau, projek pembangunan bekalan lewat jadual, projek peningkatan kualiti air lewat jadual, kadar rizab margin sangat rendah, air tidak berhasil (NRW), pelanggaran parameter air terawat dan pencemaran sumber air,” katanya.

LKAN 2/2024 yang dilaporkan baru-baru ini antaranya mendedahkan 145 daripada 712 perojek pembangunan infrastuktur air didapati lewat daripada jadual asal antara 86 hingga 1,076 hari membabitkan kos berjumlah RM6.15 billion.

LKAN 2/2024 turut mendedahkan loji rawatan kumbahan menjadi punca utama beban pencemaran tertinggi berjumlah 343 tan/hari.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )